PONTIAN: Sebuah kilang yang menyebabkan bau busuk di Taman Perindustrian Central Pekan Nanas dekat sini telah diarah menghentikan operasi dengan serta merta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Pekan Nanas, Tan Eng Meng berkata, kilang tersebut didapati memproses makanan tin import yang telah tamat tempoh iaitu cendawan dan sardin.
Katanya, beliau bersama Jabatan Pelesenan dan Unit Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) dan Pejabat Kesihatan Daerah ( PKD ) Pontian telah hadir ke lokasi berikutan aduan bau busuk di kawasan tersebut semalam.
Menurut Eng Meng, kilang tersebut yang beroperasi dipercayai lebih enam bulan didapati tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah dari MPPn.
“Arahan penutupan premis bagi kesalahan menjalankan perniagaan tanpa kebenaran Yang DiPertua ( YDP ) MPPn dikeluarkan selaras Undang-Undang Kecil ( UKK) 49(2),” katanya ditemui di sini, hari ini.
Tambah Eng Meng, arahan menghentikan aktiviti perniagaan di bawah UUK 3(1) dan Seksyen 80 Akta Kerajaan Tempatan 1976 menghendaki premis untuk menghapuskan kacau ganggu telah dikeluarkan.
“Tindakan sitaan akan dijalankan serta-merta sekiranya pemilik ingkar terhadap mana-mana arahan yang telah dikeluarkan,” katanya.
Katanya, PKD Pontian telah melaksanakan siasatan dan tindakan di bawah bidang kuasa Pejabat Kesihatan iaitu pemakluman kepada ibu pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai produk tersebut bagi tujuan ‘food alert’.
“Ia bagi mengesan penjualan produk di pasaran tempatan dan sekiranya produk tersebut di kesan penjualan di dalam negara, tindakan sitaan dan notis akan dikeluarkan oleh PKD Pontian,” katanya. – UTUSAN










