Anggota polis maut dilanggar, empat penjenayah diberkas

Anggota polis maut dilanggar, empat penjenayah diberkas

KENDERAAN mewah jenis Lexus dinaiki empat penjenayah yang merempuh mati seorang anggota polis di Taman Golf ditinggalkan di sebuah hotel di Titi Gajah, Alor Setar. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang anggota polis berpangkat koperal maut dilanggar kenderaan mewah jenis Lexus dinaiki empat penjenayah yang dipercayai melakukan kegiatan pecah rumah di Taman Golf, di sini.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang, mangsa, Mohd. Hafizul Izham Mazlan, 35, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah bersama rakan setugas tiba di tempat kejadian setelah menerima maklumat.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah berkata, anggota terbabit yang baru turun daripada kereta dinaikinya terus dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) terbabit yang cuba melarikan diri setelah menyedari kehadiran polis.

“Mangsa turut digilis kenderaan itu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan,” katanya ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Adzli berkata, kesemua suspek berusia 24 hingga 26 tahun yang dipercayai berasal dari selatan tanah air berjaya diberkas dalam tempoh tiga jam di sekitar Kepala Batas, di sini.

Katanya, suspek turut melarikan sebuah kenderaan awam setelah SUV mewah itu mengalami kerosakan sebelum ditinggalkan di sebuah hotel di Titi Gajah, di sini.

“Mereka merampas sebuah lagi SUV jenis Toyota dinaiki pasangan suami isteri warga emas dengan menarik keluar pemandunya dan membawa bersama isterinya sehingga ke pekan Kepala Batas.

“Kenderaan itu kemudian mengalami kemalangan di pekan Kepala Batas sebelum suspek melarikan diri ke kawasan berhampiran, warga emas wanita itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Menurut Adzli, berdasarkan siasatan awal, suspek berusia 26 tahun memiliki 77 rekod jenayah lampau berkaitan pecah rumah, curi kenderaan dan dadah serta seorang lagi mempunyai 30 rekod dan dua lagi masing-masing enam serta dua rekod.

Katanya, kesemua suspek akan dibawa untuk mendapatkan perintah reman esok bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 302 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana membunuh serta pecah rumah.

“Siasatan lanjut sedang dilakukan untuk mengetahui sama ada kumpulan ini memang bergiat aktif di negeri ini atau datang ke sini untuk melakukan jenayah, kita juga sedang siasat sekiranya mereka turut melakukan pecah rumah di lokasi lain hari ini termasuk bekerjasama dengan kontinjen lain,” katanya.

Sementara itu ujar beliau, jenazah anggota polis yang sudah berkhidmat selama 15 tahun dan berasal dari Setiu, Terengganu itu masih berada di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.

“Arwah meninggalkan seorang isteri dan tiga anak lelaki berusia empat, sembilan dan 11 tahun, kita masih belum pasti arwah akan dikebumikan di mana dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kelak,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×