Cemburu punca jenayah - Utusan Malaysia

Cemburu punca jenayah

Lelaki yang berhadapan masalah cemburu melampau perlu dapatkan nasihat daripada pakar kesihatan mental.–Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Beberapa insiden jenayah antara suami isteri dipercayai berpunca daripada cemburu. Ada yang berpendapat bahawa cemburu itu tanda sayang dan sihat.

Benarkah? Namun, cemburu yang melampau tergolong dalam penyakit emosi yang akhirnya akan membawa kepada kemurungan.

Cemburu adalah perasaan yang selalu dialami oleh manusia biasa. Ia suatu perasaan yang normal tetapi kompleks.

Mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, bahasa cemburu juga bermaksud perasaan kurang percaya ataupun syak wasangka kepada seseorang.

Ini bermakna perasaan atau kemarahan yang ditunjukkan pada seseorang yang dianggap sebagai pesaing.

Daripada definisi tersebut kita mengetahui bahawa isu utama kepada cemburu tersebut adalah disebabkan perasaan wujudnya persaingan.

Namun, bagaimana pula cemburu dalam rumah tangga?

Menurut Pakar Psikiatri Pantai Hospital Sg. Petani, Dr. Mohammad Farris Iman Leong Abdullah, cemburu keterlaluan berpunca daripada kurangnya ilmu pengurusan konflik dalam rumah tangga.

DR. MOHAMMAD FARIS IMAN LEONG ABDULLAH

Katanya, panas baran yang tercetus akibat cemburu adalah penyakit jiwa yang sering membawa kepada implikasi lebih buruk seperti pergaduhan, penderaan seterusnya kepada pembunuhan.

“Daripada segi psiko­logi, cemburu merupakan emosi negatif iaitu seseorang individu itu memarahi orang yang ketiga yang telah merampas ataupun seperti telah merampas perasaan sayang orang yang disayangi oleh individu tersebut.

“Seseorang itu menjadi cemburu kerana ketidakpastian dalam hidup dan kebosanan hidup, takut kehilangan seseorang yang penting dalam hidup kepada orang lain dan kurang kepercayaan pada orang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi baru-baru ini.

Ada beberapa faktor mendorong individu cemburu, termasuk takut kehilangan sesuatu yang disayangi, kurang keyakinan diri dan kesedihan terhadap sesuatu disayangi yang dianggap telah hilang.

“Tahap cemburu individu berbeza dan tidak sama. Ada yang titik ambang untuk menjadi cemburu adalah agak rendah, ada yang agak tinggi. Justeru, ia bergantung kepada orang.

“Namun, cemburu adalah perkara biasa dalam hubungan suami isteri. Tetapi, cemburu buta yang normal biasanya tidak akan menyebabkan terjadinya tindakan agresif selagi suami atau isteri tidak berlaku curang atau niat untuk curang,” katanya.

Cemburu patalogi tanda kecelaruan delusi

Dalam kes cemburu melampau, ia juga dikaitkan dengan masalah mental misalnya cemburu patologi (pathological jealousy) yang banyak dikaitkan berlaku dalam kalangan lelaki.

Ia merupakan sejenis kecelaruan delusi ataupun satu simptom psikotik yang boleh berlaku dalam penyakit mental seperti skizofrenia atau penyakit bipolar jenis I iaitu seseorang itu percaya dengan yakin bahawa pasangan mereka berlaku curang, dengan bukti yang tidak kukuh, minima atau tiada bukti langsung.

“Penghidap mungkin akan cuba mengaitkan perkara yang berlaku dalam kehidupan harian dengan pasangan untuk dijadikan ‘bukti’ dalam menyokong dakwaan itu.

“Individu turut terdorong untuk melakukan intipan kepada pasangannya, mengintip secara maya (dengan Facebook, Instagram dan sebagainya), sabotaj ‘orang yang ketiga’ yang disyaki pasangan mereka menjalinkan hubungan dan sehingga tahap agresif seperti mencederakan atau membunuh pasangan mereka atau ‘orang yang disyaki’ merampas cinta mereka,” katanya.

Dr. Mohammad Farris berkata, cemburu patologi ini juga kerap berlaku dalam kalangan mereka yang mengalami kebergantungan alkohol, masalah seksual seperti mati pucuk dan mereka yang mengalami kecederaan otak.

Jika seseorang berdepan dengan situasi lelaki yang cemburu bertukar menjadi baran, beliau menasihatkan, cuba jangan berkeras dengan orang yang sedang cemburu itu dan minta dia supaya mengelak daripada berada di situasi tersebut untuk sementara waktu bagi mencari ketenangan. Ini boleh dilakukan bagi mereka yang berdepan dengan situasi cemburu normal.

Selepas bertenang, barulah boleh mendengar penjelasan orang yang mereka cemburu itu dan bawa berbincang.

Jika ia cemburu patologi, maka kemarahan orang cemburu itu sukar dileraikan dan perlu rawatan dengan ubat antipsikotik serta ubat penenang (benzodiazepin).

Punca yang menyebabkan cemburu patologi juga perlu dirawat agar cemburu patologi itu akan pulih. Oleh itu, rujukan kepada pakar psikiatri adalah penting untuk orang yang mengalami cemburu patologi.

“Jika pasangan telah naik angin, jangan berkeras dengannya dan terus mencetuskan kemarahannya dengan mencari kesalahan pasangannya itu. Ini akan memburukkan keadaan apabila pasangannya itu ditegur dengan kesalahan yang tidak berkaitan dengan isu yang sedang dibincangkan itu.

“Cuba pujuk pasangan untuk bertenang dulu dan keluar dari tempat yang berlakunya pertelingkahan itu. Selepas bertenang barulah berbincang tentang punca cemburu dan menyelesaikan segala masalah salah faham yang ada. Ini penting untuk membezakan cemburu normal daripada cemburu patologi.

“Sebabnya cemburu patologi perlu dirujuk dan menerima rawatan daripada pakar psikiatri,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×