AGAMA suci Islam saban hari dicemari oleh kelompok berkepentingan yang menjadikannya bahan dagangan. Segala yang berjenama ‘Islamik’ dijual bersama harapan syurga segera.
Kecelaruan maklumat dan kebanjiran suara agama tanpa sempadan hari ini menuntut umat Islam untuk bangkit bukan sahaja sebagai pendengar tetapi sebagai penapis kebenaran.
Penunggang agama bukan sekadar merosakkan akidah individu, malah mencemarkan imej Islam dan mencalar kepercayaan awam terhadap institusi agama dan dakwah.
Penyelewengan yang berselindung di balik imej agama, serban, gelaran ‘ustaz’ dan konsep pelaburan akhirat telah meragut simpanan umat, melemahkan semangat amal jariah dan lebih parah mengubah agama menjadi alat manipulasi emosi.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa menipu kami, maka dia bukan daripada golongan kami”. (Riwayat Muslim)
Penipuan agama ialah pengkhianatan identiti ummah. Oleh itu, memelihara maruah agama bukanlah tugas mufti dan pihak berautoriti semata-mata tetapi tanggungjawab kolektif seluruh umat Islam.
Terdapat beberapa langkah dan panduan yang boleh diambil untuk membentengi diri dan masyarakat daripada fitnah agama yang menyesatkan.
Pertama, melazimi literasi dalil dan semangat tabayyun. Umat Islam tidak seharusnya menelan setiap ucapan berlabel agama secara membuta tuli. Kebenaran tidak ditentukan oleh emosi atau jumlah tontonan tetapi kekuatan dalil dan kesahihan rujukan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu campurkan kebenaran dengan kebatilan, serta kamu sembunyikan kebenaran itu padahal kamu mengetahuinya”. (Surah al-Baqarah: 42)
Sikap tabayyun iaitu meneliti sebelum percaya adalah prinsip asas dalam menjaga ketulenan ilmu. Umat Islam perlu digalakkan menghadiri kuliah tafsir dan hadis, membaca kitab turath serta merujuk kepada ulama muktabar bukan hanya bersandar pada klip tiga minit yang tular di media sosial.
Literasi agama yang kuat melahirkan masyarakat kebal terhadap manipulasi agama. Pembudayaan ilmu perlu diterapkan dalam kalangan masyarakat bagi meningkatkan kualiti kefahaman yang baik.
Kedua, memastikan kredibiliti agamawan. Tidak semua yang berserban atau bercakap petah tentang agama layak dijadikan rujukan. Kredibiliti seorang agamawan perlu disahkan melalui semakan rasmi status tauliah dan latar belakang bidang pengajian.
Rujukan kepada pihak berautoriti seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Mufti atau Jabatan Agama Islam Negeri wajar dijadikan amalan sebelum menghadiri kuliah, pengajian atau menyalurkan sumbangan.
Sekiranya sesuatu dakwah kelihatan terlalu berorientasikan komersial tanpa ketelusan, maka kewajarannya perlu dipersoalkan. Islam tidak membenarkan kekayaan diperoleh melalui eksploitasi agama.
Ketiga, menyalurkan sumbangan dana melalui saluran yang sah dan berdaftar. Sumbangan berbentuk zakat, wakaf dan infak hendaklah disalurkan melalui institusi yang diiktiraf, dipercayai dan diaudit.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya zakat itu hanya untuk orang fakir, miskin, amil, mualaf, hamba, orang berhutang, fi sabilillah dan musafir yang terputus bekalan sebagai kewajipan daripada Allah”. (Surah al-Taubah: 60)
Usaha mematuhi saluran yang sah, setiap sen yang disumbangkan akan sampai kepada pihak yang benar-benar memerlukan dan menghindari salah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Keempat, menumbangkan aura kalis atau kebal kritikan. Islam tidak mengenal kasta ulama yang maksum. Bahkan para sahabat mendidik umat agar menegur pemimpin apabila menyimpang.
Apabila sesuatu ajaran tidak selari dengan syariat atau mencurigakan, masyarakat wajar bertanya dan menegur. Sikap taksub kepada tokoh tanpa sempadan membawa kepada kebinasaan.
Islam mengiktiraf prinsip musyawarah dan kebertanggungjawaban dalam semua lapisan kepimpinan termasuk agamawan.
Kelima, memperkukuhkan peranan media dan fungsi netizen prihatin. Media massa dan pengguna media sosial mempunyai peranan penting dalam membanteras penyebaran scam agama.
Laporan pembongkaran dan pendedahan berasaskan fakta perlu digalakkan demi melindungi umat daripada ditipu atas nama akhirat.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, jika tidak mampu maka dengan lisannya, jika tidak mampu maka dengan hatinya dan itu adalah selemah-lemah iman”. (Riwayat Muslim, no.49)
Netizen yang prihatin mesti bertindak, bukan sekadar menyebar semula video atau dakwaan tetapi melaporkan akaun penipuan, mengingatkan orang ramai dan membantu membina kesedaran secara berhemah.
Keenam, memperkasa dan menguatkuasakan undang-undang. Skim sedekah palsu, penipuan agama secara langsung (livestream) dan penyebaran ajaran sesat lintas sempadan perlu ditangani melalui peruntukan undang-undang yang lebih ketat.
Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, peraturan siber dan enakmen jenayah syariah perlu dikemas kini agar lebih relevan dengan landskap digital hari ini.
Pihak berkuasa agama dan keselamatan siber mesti bekerjasama, bukan sahaja bertindak selepas kes berlaku, tetapi bersifat proaktif dalam pemantauan. Penipuan agama bukan sekadar kesalahan individu tetapi ancaman terhadap kestabilan masyarakat dan nama baik Islam.
Ketujuh, mendidik dan memupuk sifat integriti. Pelaburan jangka panjang bagi menangani krisis integriti agamawan ialah melalui pendidikan karakter sejak usia muda. Kurikulum perlu menekankan nilai seperti amanah, benar, jujur dan tanggungjawab.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Seorang Muslim ialah yang kaum Muslimin lain selamat daripada gangguan lidah dan tangannya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Pendidikan akhlak bukan sekadar pengisian tambahan, tetapi asas kepada kelangsungan umat yang bermaruah. Jika generasi hari ini dibentuk dengan integriti, maka tiada ruang untuk munculnya penunggang agama yang licik dan rakus.
LINDUNGI AGAMA
Demikianlah, membanteras penipuan agama bukan sekadar soal emosi, tetapi tuntutan syarak yang wajib digalas oleh seluruh umat. Firman Allah SWT yang bermaksud: “…dan janganlah kamu menukarkan ayat-ayat-Ku dengan harga yang rendah, dan hanya kepada Akulah kamu harus bertakwa”. (Surah al-Baqarah: 41)
Maruah agama tidak ternilai harganya serta bukan bahan dagangan untuk dibeli dan dijual. Setiap tindakan, derma dan perkongsian yang dilakukan seseorang hari ini adalah saksi ke arah mana menempatkan diri sama ada sebagai pelindung kebenaran atau penyumbang kepada kepalsuan.
Berdasarkan ilmu yang sahih, sistem yang adil dan masyarakat yang berani menegur, maruah Islam akan terus terpelihara, bukan hanya di atas kertas, tetapi di hati dan dalam realiti.-UTUSAN
DR. Azri Bhari ialah Profesor Madya di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) & Ahli Jawatankuasa Pembangunan Wakaf dan Zakat, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk).










