JALAN paling mudah meraih keuntungan politik sebagai pembangkang adalah dengan menyerang. Apa sahaja isu terutamanya yang melibatkan kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun pusat sering dijadikan senjata untuk melancarkan serangan.
Serangan itu ada kalanya berasaskan fakta, namun tidak kurang juga yang menyimpang jauh dari kebenaran. Politik berasaskan serangan menjadi kebiasaan dalam landskap parti-parti politik pembangkang.
Pendekatan itu menjadi kelaziman bagi mana-mana parti politik pembangkang berbanding memberi idea atau penyelesaian kepada penambaikkan.
Politik menyerang juga mudah mendapat perhatian tetapi tidak semestinya mampu menambah sokongan. Situasi politik sekarang sudah jauh berubah dengan rakyat semakin celik memilih pemimpin berbanding taasub kepada sesebuah parti.
Di Perlis, sekiranya pembangkang khususnya UMNO memilih pendekatan menyerang, mereka tidak akan ketandusan isu. Pelbagai perkara boleh dibangkitkan termasuk isu parkir berpalang, pelaburan, prestasi pentadbiran, kenaikan tarif air serta mengorek semula janji-janji manifesto Perikatan Nasional (PN) yang belum ditunaikan.
Sebaliknya, UMNO negeri ini mengambil pendekatan sederhana dengan fokus kepada memperkukuhkan parti menarik kembali sokongan rakyat berbanding pendekatan lebih popular iaitu menyerang dan menyerang.
Boleh menyerang tetapi biarlah turut dilengkapi cadangan kepada penambahbaikan. Itu yang dilakukan UMNO di Perlis tetapi ramai yang masih tidak faham. Mereka mendakwa UMNO Perlis sunyi sepi, tidak garang dan lemah. Hakikatnya UMNO tidak menyerang secara semberono.
UMNO di Perlis tidak sunyi, pemimpin-pemimpin di tiga bahagian iaitu Arau, Kangar dan Padang Besar khususnya lebih fokus kepada kerja-kerja mendekati rakyat berbanding berterusan bermain politik. Setiap minggu ada sahaja program mendekati rakyat oleh pemimpin di situ.
Tetapi biasalah politik kebajikan atau khidmat ini tidaklah sepopular berbanding politik menyerang.
UMNO boleh sahaja hendak menyerang kerajaan negeri, tetapi adakah serangan itu cukup untuk mengembalikan sokongan kepada parti itu yang hilang semua 18 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Daripada menyerang, lebih baik UMNO fokus kepada usaha mendekati rakyat dan meneruskan kerja-kerja kebajikan yang sememangnya sudah menjadi ‘DNA’ UMNO.
Jika rindu, serahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan dalam pilihan raya akan datang.
PELUANG MERAMPAS
Di Perlis terdapat 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga Parlimen. Jika dinilai dari segi peluang dalam PRU16, UMNO ada peluang merampas semula kerajaan negeri. Tetapi sejauh mana ia mampu menjadi kenyataan terserah kepada parti itu untuk terus berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh.
PRU16 berbaki sekitar dua atau tiga tahun lagi. Tempoh tersebut cukup genting bagi UMNO untuk kembali menawan semula hati rakyat di negeri ini. Kekalahan UMNO di Perlis pada pilihan raya lalu dikaitkan dengan gelombang. Yang pasti gelombang bukannya datang selalu.
Pasca PRU15, UMNO Perlis juga tampil dengan wajah baharu diketuai Datuk Rozabil Abd. Rahman merangkap Ketua UMNO Bahagian Arau; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya serta Ketua UMNO Bahagian Padang Besar yang juga Setiausaha UMNO negeri, Ruzaini Rais.
Di Arau, Rozabil dengan pimpinan dari bahagian termasuk sayap-sayap parti banyak melaksanakan program mendekati rakyat selain mendekatkan diri dengan anak muda melalui pelbagai aktiviti sukan dan sebagainya.
Manakala Fathul Bari di Kangar sejak 2018 sehingga kini terus konsisten dengan program-program mendekati rakyat selain pelbagai aktiviti berimpak. Sayap-sayap parti juga bergerak aktif dengan pelbagai program khususnya dalam mendekati anak muda.
Di Kangar, Fathul Bari telah membina jenamanya tersendiri apabila boleh dikatakan penduduk setempat mengenali dan berasa dekat dengannya. Keakraban ini secara tidak langsung memberi kelebihan sekiranya beliau bertanding di Parlimen Kangar pada pilihan raya umum akan datang.
Pada PRU15, Fathul Bari merupakan calon pilihan menang di Parlimen Kangar namun gelombang di seluruh negara ketika itu turut tempias di negeri ini yang akhirnya menyaksikan beliau tewas.
Menjelang PRU16, Fathul Bari bangkit dengan lebih kuat untuk kembali merampas kerusi Parlimen berkenaan yang merupakan salah satu kawasan UMNO berpeluang menang.
Ruzaini bersama pimpinan di Padang Besar juga terus bergerak aktif dengan pelbagai program mendekati rakyat dalam usaha kembali merampas Parlimen dan lima DUN di kawasan itu yang sebelum ini menjadi kubu terkuat UMNO.
Sementara itu, Rozabil berkata, ‘DNA’ UMNO sememangnya sinonim dalam memberi kebajikan kepada rakyat tanpa henti dan bakti yang ditaburkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama di Perlis dan negara ini akan sentiasa diteruskan.
“Inilah yang kita akan lakukan tanpa henti (khidmat dan bakti) tidak mengira kaum dan fahaman politik,” katanya.
Dalam pada itu, Fathul Bari berkata, UMNO bahagian Kangar dan Perlis khususnya tidak mengambil pendekatan ofensif atau menyerang kerajaan negeri kerana yakin rakyat sendiri mampu menilai prestasi pentadbiran kerajaan yang dilingkari pelbagai isu.
Katanya, tumpuan UMNO khususnya di bahagian Kangar adalah terhadap pengukuhan parti dalam mendekati rakyat daripada bermain politik terhadap sesuatu isu.
Beliau yakin, rakyat sendiri sedar terhadap isu-isu semasa melingkari pentadbiran kerajaan negeri termasuk dalam soal janji-janji manifesto.
“Isu janji-janji manifesto antaranya kalau kita teliti semula dan rakyat Perlis perlu menilai semula apa indeks pencapaian kerajaan negeri berdasarkan manifesto tersebut.
“Biar rakyat sendiri menilai dan disebabkan itu juga, UMNO tidak terlalu bersifat ofensif sebaliknya kita lebih kepada tumpuan pengukuhan parti dalam mendekati rakyat.
“Sememangnya ada cabaran, namun Insya-Allah dalam situasi sekarang, rakyat mampu menilai dan mula merindui pentabdiran kerajaan UMNO dan BN. Insya-Allah Perlis akan berwajah baharu andai ditakdirkan BN kembali menerajui kerajaan,” katanya.-UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.










