Thailand, Kemboja sepakat kekal gencatan senjata

Thailand, Kemboja sepakat kekal gencatan senjata

ANWAR Ibrahim, menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narkphanit bersama delegasi masing-masing di Perdana Putra. - PEJABAT PERDANA MENTERI/IZZUDDIN ABD. RADZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia berjaya merintis satu lagi pencapaian penting dalam usaha mendamaikan konflik Thailand–Kemboja apabila kedua-dua negara bersetuju mematuhi sepenuhnya gencatan senjata serta menjamin perlindungan terhadap orang awam dan infrastruktur awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu dicapai dalam satu pertemuan di Perdana Putra pagi tadi bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narkphanit.

Katanya, pertemuan itu turut menzahirkan keyakinan kedua-dua negara terhadap peranan Malaysia yang menerajui rundingan damai serta pemantauan situasi di kawasan sempadan.

“Alhamdulillah, kedua-dua negara turut mencapai beberapa persetujuan penting, termasuk komitmen untuk mematuhi sepenuhnya gencatan senjata tanpa sebarang bentuk serangan, tidak menambah kekuatan atau mengubah penempatan tentera, mengelak tindakan provokatif, serta menjamin perlindungan terhadap orang awam dan infrastruktur awam,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Perdana Menteri berkata, kesepakatan itu mencerminkan iltizam bersama untuk menjunjung keamanan dan kestabilan serantau yang amat penting dalam landskap geopolitik semasa.

Jelasnya, Malaysia akan terus memainkan peranan penting khususnya melalui Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dalam usaha rundingan dan pemantauan berterusan di kawasan berisiko.

“Bicara kami selama lebih 30 minit turut menyentuh cadangan penempatan pasukan ASEAN Observer Team (AOT) bagi membantu pemantauan, bantuan kemanusiaan serta pengurusan perubatan di kawasan sempadan.

“InsyaAllah, saya dan seluruh pasukan Malaysia akan terus berusaha menyokong proses damai ini atas kepercayaan dan keyakinan bahawa keamanan yang berkekalan hanya boleh dicapai melalui dialog, persahabatan dan keikhlasan,” jelasnya.

Ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja tercetus dengan insiden tembak-menembak yang singkat pada 28 Mei lepas sebelum memuncak kepada konflik bersenjata pada 24 Julai.
Setakat 26 Julai, pertempuran antara kedua-dua negara berjiran itu telah meragut sekurang-kurangnya 32 nyawa dan memaksa sehingga 200,000 penduduk berpindah dari kawasan sempadan yang terjejas.

Namun, usaha berterusan untuk meredakan krisis itu akhirnya membuahkan hasil melalui rundingan secara bersemuka di Putrajaya hasil inisiatif Anwar untuk satu pertemuan diplomatik bersejarah melibatkan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×