KUALA LUMPUR: “Aaron Chia dan Soh Wooi Yik juara dulu, tak bermakna mereka akan juara selama-lamanya.”
Itu amaran keras diberikan pengarah kejurulatihan beregu negara, Rexy Mainaky menjelang Kejohanan Badminton Dunia yang bakal berlangsung di Paris, Perancis dari 25 hingga 31 Ogos ini.
Rexy berkata, kejayaan silam Aaron-Wooi Yik menjuarai edisi 2022 tidak menjamin kejuaraan akan datang buat mana-mana pasangan negara.
Beliau memberi peringatan supaya pemain tidak terlalu selesa dengan status dan sejarah lampau kerana semua pencabar kini berada pada tahap yang seimbang.
“Kita boleh lihat sekarang, itu di beregu lelaki tidak selalu bahawa Aaron-Wooi Yik menjadi juara itu akan selamanya juara.
“Dalam acara beregu lelaki sekarang, semua pasangan berada di tahap yang sama. Tidak ada jaminan jika anda pernah menang, anda akan menang lagi,” kata Rexy selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, kelmarin.
Malaysia menjadi penyertaan beregu lelaki yang paling ramai dengan empat pasangan termasuk Arif Junaidi-Yap Roy King yang baharu sahaja menjuarai Terbuka Macau, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin, Aaron-Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
Bagaimanapun, Rexy menjelaskan bahawa hanya kerana ada empat wakil tidak bermakna kesemuanya sudah selamat dari segi peluang, kerana banyak bergantung kepada prestasi semasa dan persiapan rapi sebelum kejohanan.
Beliau memberi bayangan bahawa cabaran sebenar bukan sekadar dari China, Indonesia atau Korea, tetapi juga ‘dark horse’ (pesaing yang mampu buat kejutan) dari Perancis.
“Persiapan bukan sekadar di gelanggang, tapi juga cara menjaga diri. Elakkan sakit, jaga pemakanan, cukup tidur, dan jangan leka dengan hal-hal luar yang boleh ganggu fokus,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata tiada kem latihan di luar negara dirancang, malah keempat-empat beregu akan berlepas ke Paris pada 21 Ogos ini untuk terus fokus di gelanggang utama dunia. – UTUSAN











