MEDIA sosial menjadi sebahagian daripada nadi interaksi anak muda. Ia bukan sekadar platform untuk berkongsi gambar atau video, malah menjadi medan untuk membina identiti, mencari pengaruh dan membentuk komuniti yang melangkaui sempadan geografi.
Namun, di sebalik semua kelebihan ini, muncul fenomena yang semakin membimbangkan iaitu ketagih digital dan keperluan melampau untuk sentiasa aktif di media sosial.
Bagi sebahagian besar anak muda, keaktifan ini bukan lagi pilihan sebaliknya keperluan psikologi. Mereka merasakan perlu untuk kekal relevan, sentiasa dilihat dan diingati dalam dunia maya.
Keadaan ini sebahagiannya didorong algoritma media sosial yang bijak memanipulasi perhatian pengguna, mendorong mereka untuk terus menggerakkan skrin untuk melihat kandungan seterusnya, memuat naik kandungan dan berinteraksi tanpa henti.
DARI AKTIF NYATA KE AKTIF MAYA
Jika dahulu istilah ‘aktif’ merujuk penglibatan dalam aktiviti masyarakat, sukan, kesukarelawanan atau program kebajikan tetapi kini ia lebih banyak merujuk penglibatan maya. Anak muda berlumba-lumba memuat naik ciapan, meninggalkan komen, mengikuti trend semasa dan memburu tanda ‘suka’.
Nilai diri mereka diukur melalui angka pengikut atau interaksi di media sosial, bukannya melalui sumbangan sebenar dalam dunia nyata.
Fenomena ini membawa implikasi besar. Tekanan sosial seperti takut ketinggalan (FOMO) menyebabkan ramai sanggup mengorbankan masa rehat, fokus pembelajaran, malah hubungan kekeluargaan, semata-mata untuk kekal relevan di alam maya. Kesan jangka panjang termasuk keletihan mental, rasa rendah diri akibat perbandingan tidak sihat dan penurunan kualiti hubungan sosial bersemuka.
AKHLAK
Prinsip Madani seperti ihsan, hormat, kemampanan dan akhlak menggariskan penglibatan anak muda, sama ada di alam nyata mahupun maya, mestilah beradab, membina dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Seorang anak muda tidak akan menjadikan media sosial sebagai pentas untuk menyebarkan fitnah, menonjolkan kemewahan palsu atau mengapi-apikan permusuhan. Sebaliknya, mereka akan menggunakannya untuk menyebarkan ilmu, memberi inspirasi, mempromosikan aktiviti kebajikan dan menghubungkan komuniti. Inilah yang membezakan antara sekadar aktif dan aktif secara bijaksana.
INSPIRASI VARSITI
Selaras hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk melahirkan mahasiswa yang berdaya saing dan berjati diri, semua universiti awam termasuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) diamanahkan melaksanakan Program Inspirasi Varsiti. Matlamat utamanya untuk menarik minat pelajar sekolah, terutamanya yang berdekatan dengan kampus universiti, supaya meneruskan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Program ini bukan sekadar promosi pendidikan tetapi juga platform untuk menerapkan nilai kepimpinan, patriotisme dan jati diri dalam kalangan pelajar sekolah.
Ia menjadi sebahagian daripada tanggungjawab sosial universiti dalam mendekati masyarakat, membimbing generasi muda dan mempersiapkan mereka menjadi warganegara yang berilmu serta berakhlak.
Di UIAM, teknologi dijadikan sebahagian daripada pendekatan Inspirasi Varsiti. Anak muda digalakkan melihat media sosial sebagai alat penggerak inspirasi, bukannya sekadar ruang hiburan atau medan ketagihan. Aktiviti yang dirancang memberi pendedahan kepada peluang pembelajaran di universiti, memperkenalkan nilai kepimpinan yang berteraskan akhlak dan mengajak mereka mengurus penggunaan gajet secara seimbang.
Pendekatan ini penting kerana ia mengajar teknologi hanyalah alat dan kualiti hidup bergantung pada cara menggunakannya. Keaktifan digital yang bijak boleh membina reputasi positif, memperluas jaringan sosial yang bermanfaat dan membuka peluang kerjaya yang lebih luas.
Bagi memastikan keaktifan digital seiring dengan pembinaan sahsiah, tiga langkah utama perlu diambil:
Literasi digital beretika
Literasi digital harus menjadi sebahagian daripada pendidikan di sekolah dan universiti. Modul khusus perlu disediakan bagi membimbing pelajar supaya setiap perkongsian di media sosial selari dengan nilai murni dan prinsip madani. Mereka perlu diajar membezakan antara fakta dan fitnah, menghormati privasi dan mengelakkan ucapan yang mencetuskan kebencian.
Pembangunan sahsiah digital
Pihak berwajib, termasuk kementerian, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pendidikan harus menggalakkan program yang membantu anak muda memahami nilai diri tidak diukur melalui angka pengikut atau tanda suka. Sebaliknya, keaktifan sebenar diukur melalui sumbangan positif kepada masyarakat.
Teladan daripada ibu bapa dan pendidik
Sikap berhikmah, kawalan diri dan adab yang tinggi di alam maya menjadi contoh yang diikuti oleh generasi muda.
Secara kesimpulannya, media sosial bukanlah musuh tetapi ia boleh menjadi ancaman jika digunakan tanpa kawalan. Melalui pelaksanaan program seperti Inspirasi Varsiti, anak muda dapat dibimbing untuk menjadi pengguna media sosial yang bijak, beretika
UIAM komited untuk menjadi peneraju dalam usaha ini, memastikan teknologi digunakan sebagai alat pemerkasaan, bukannya punca ketagihan. Dengan bimbingan yang tepat, kita mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja celik teknologi tetapi juga matang dalam pemikiran, tinggi akhlaknya dan kukuh jati diri.-UTUSAN
PROFESOR Datuk Dr. Mohamad Fauzan Noordin ialah Timbalan Rektor Pembangunan Pelajar dan Keterlibatan Masyarakat (ODRSDCE), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
SHAHRIZAD Sa-idul Haj ialah Pengarah, Pusat Ko-kurikulum Berkredit (CCC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










