KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengemukakan surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi memohon semua tujuh pertuduhan jenayah terhadapnya dibatalkan.
Permohonan representasi tersebut difailkan pada penghujung bulan lalu dan kini sedang dipertimbangkan oleh pihak AGC.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, K. Muniandy hari ini.
“Ini merupakan representasi pertama yang dikemukakan oleh pihak pembelaan bagi kes ini,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 7 Oktober depan untuk sebutan semula kes.
Muhyiddin hadir ke mahkamah hari ini bersama dua peguam belanya, Amer Hamzah Arshad dan Rosli Dahlan.
Muhyiddin, 78, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), berdepan empat pertuduhan menyalahgunakan kuasa dengan meminta suapan berjumlah RM232.5 juta daripada empat entiti kononnya sebagai dana politik parti menerusi projek Jana Wibawa.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Beliau turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM200 juta yang dimasukkan ke dalam dua akaun milik Bersatu.
Transaksi itu didakwa dilakukan di Ambank Cawangan Amcorp Mall, Petaling Jaya pada 7 Januari 2022 serta di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral, Kuala Lumpur antara 25 Februari hingga 16 Julai 2021 dan antara 8 Februari hingga 8 Julai 2022.-UTUSAN










