Justin perlu ranking lebih baik

Justin perlu ranking lebih baik

JUSTIN HOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain perseorangan badminton negara, Justin Hoh perlu berusaha mendaki ranking yang lebih baik bagi membolehkannya beraksi dalam kejohanan bertaraf lebih tinggi.

Pengarah kejurulatihan perseorangan negara, Kenneth Jonassen berkata, hanya dengan beraksi secara konsisten di tahap itu barulah Justin dapat menguji kemampuannya sekali gus mengenal pasti ruang penambahbaikan sebenar secara praktikal.

Katanya, kekalahan Justin kepada bekas juara remaja dunia dari Indonesia Alwi Farhan di pentas final Terbuka Macau, kelmarin sebagai satu ujian realiti yang perlu dihadapi.

Menurutnya, perlawanan itu menjadi bukti bahawa Justin masih memerlukan masa dan peningkatan menyeluruh untuk benar-benar bersaing dengan kelompok terbaik dunia.

“Tahap permainan yang ditampilkan Alwi sememangnya dijangka sukar buat Justin untuk mencari jalan penyelesaian,” kata Jonassen kepada Utusan Malaysia.

Jonassen menegaskan tumpuan utama kini terarah kepada usaha menaikkan ranking Justin agar dia mendapat akses ke kejohanan bertaraf lebih tinggi seperti Jelajah Dunia Super 500 dan ke atas.

“Matlamat kami sekarang adalah mendapatkan akses ke kejohanan tahap tertinggi dunia dan dari situ barulah kita boleh belajar daripada pengalaman sebenar.

“Namun untuk mencapai keseimbangan antara bertanding dan memperbaiki kelemahan adalah satu cabaran besar yang perlu diurus dengan teliti,” katanya.

Sementara itu, Justin tetap menganggap penampilan sulungnya di final Super 300 sebagai satu langkah penting dalam perkembangan kariernya sebagai pemain profesional.

“Rasa sangat teruja sebab ini adalah penampilan pertama final Super 300 untuk saya. Perkara yang saya pelajari adalah perlu lebih bersabar dan perlu pertingkatkan lagi kemahiran serta strategi permainan,” kata Justin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×