MIAMI: Tragedi yang menimpa seekor anjing ketika taufan dahsyat melanda Florida pada Oktober tahun lalu mencetuskan satu perubahan besar dalam undang-undang perlindungan haiwan di negeri itu yang menjadikan tindakan meninggalkan binatang berkenaan ketika bencana alam melanda sebagai kesalahan jenayah.
Kisah menyayat hati itu bermula ketika Taufan Milton, ribut Kategori 5 yang sedang mengganas menghampiri negeri berkenaan, apabila satu panggilan kecemasan diterima mengenai seekor anjing yang terperangkap dalam air banjir yang semakin naik.
Ketika itu, anggota rondaan Lebuhraya Florida (FHP), Trooper Orlando Morales yang mengawasi laluan-laluan utama, melihat kelibat kepala seekor anjing dalam banjir berhampiran Lebuhraya Interstate 75, dekat Tampa.
Morales segera memberhentikan kenderaannya dan menghampiri seekor anjing jenis bull terrier yang kelihatan menggigil kesejukan.
“Tidak mengapa kawan, semuanya akan baik,” katanya dalam nada menenangkan sambil meredah hujan lebat, menurut rakaman badan yang dikongsi pihak berkuasa.
Anjing tersebut, yang kemudian dinamakan Trooper sebagai penghargaan kepada penyelamatnya, kini ditempatkan bersama pasangan Frank dan Carla Spina di Parkland, Florida, serta seekor lagi anjing peliharaan mereka yang juga dari baka yang sama, bernama Dallas.
Kisah menyentuh hati itu turut menggerakkan pihak berkuasa negeri untuk menggubal satu undang-undang baharu bagi melindungi haiwan peliharaan semasa bencana alam.
Pada Mei lalu, Gabenor Florida, Ron DeSantis menandatangani Rang Undang-undang Senat Florida 150 yang mengisytiharkan perbuatan mengikat dan meninggalkan anjing di luar rumah semasa bencana alam yang diisytihar atau semasa perintah pemindahan wajib atau sukarela berkuat kuasa, adalah satu jenayah tahap ketiga.
Rang undang-undang itu turut digandingkan dengan satu lagi langkah perlindungan haiwan yang memperketatkan hukuman terhadap pesalah jenayah kekejaman terhadap haiwan. -AGENSI










