PETALING JAYA: Jenama minyak masak tempatan, Medella dengan kerjasama Jaya Grocer melancarkan minyak masak isirung sawit dalam pek pengguna pertama di dunia yang kini tersedia di rak pasar raya seluruh negara.
Medella berkata, produk baharu ini menawarkan alternatif minyak masak yang premium, lebih sihat dan lebih mampu milik, sesuai untuk kegunaan harian serta keperluan membakar dan memasak.
Katanya, ia 100 peratus diperoleh secara lestari dan dihasilkan dengan bangga di Malaysia, sejajar dengan semangat menyokong industri tempatan.
“Berbeza dengan minyak sawit olein yang lazim digunakan dan diperoleh daripada mesokarp (isi merah) buah kelapa sawit, minyak isirung sawit dihasilkan daripada biji putih bahagian dalam buah sawit, dikenali sebagai isirung.
“Ia diekstrak secara mekanikal dan ditapis secara fizikal tanpa penggunaan bahan kimia keras atau bahan tambahan, menghasilkan minyak masak yang tulen, semula jadi dan serbaguna dengan rasa dan bau yang neutral,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, minyak isirung sawit diklasifikasikan sebagai minyak laurik dan berkongsi hampir 90 peratus ciri kimia dan fizikal dengan minyak kelapa.
Jelansya, ia turut mengandungi trigliserida rantaian sederhana (MCT) yang sangat bernilai dan memberikan manfaat serupa dengan kos yang jauh lebih rendah.
“Dengan profil asid lemak yang unik, minyak ini amat sesuai untuk masakan suhu tinggi seperti menggoreng serta membakar kek dan pastri sebagai pengganti mentega yang lebih menjimatkan.
“Pelancaran minyak masak isirung sawit Medella ini menandakan satu inovasi penting dalam pasaran, sekali gus menawarkan pengguna pilihan berkualiti tinggi, berprestasi tinggi dan lebih sihat untuk hidangan di rumah,” jelasnya. – UTUSAN










