Bomba masih padam kebakaran hutan Felda Sungai Buaya

Bomba masih padam kebakaran hutan Felda Sungai Buaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerja-kerja pemadaman kebakaran hutan di Jalan Kiambang Sari 1, Felda Sungai Buaya, Rawang dekat sini masih diteruskan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor sejak semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kebakaran melibatkan kawasan seluas 60 ekar itu kini berjaya dipadamkan sebanyak 58 ekar, manakala dua ekar lagi masih dalam proses pemadaman.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.36 petang sebelum mengerahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa ke lokasi dengan bantuan BBP Rawang.

“Setibanya di lokasi kira-kira pukul 6.47 petang, komander operasi mendapati kebakaran melibatkan kawasan hutan yang luas dan api sedang marak.

“Kerja-kerja pemadaman terus dijalankan namun keadaan muka bumi berbukit serta tiupan angin kuat menyukarkan operasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, operasi membabitkan tujuh anggota bersama dua jentera iaitu satu unit jentera ringan (CFRT) dan satu kenderaan perkhidmatan kecemasan (EMRS).

Menurutnya, pemantauan dilakukan sepanjang malam bagi memastikan kebakaran tidak merebak ke kawasan lain.

“Setakat pukul 7 pagi ini, 58 ekar kawasan yang terbakar berjaya dipadamkan, baki dua ekar lagi masih sedang diusahakan.

“Kerja-kerja pemadaman diteruskan secara berhati-hati bagi mengelakkan api kembali marak,” katanya.

Jelasnya, tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×