PETALING JAYA: Lebih 13,000 pelari menyertai acara maraton IJM Allianz Duo Highway Challenge 2025 yang berlangsung hari ini.
IJM Corporation Berhad dan Allianz Malaysia Berhad dalam satu kenyataan bersama berkata, acara yang diadakan itu melibatkan empat kategori iaitu 42 kilometer (km), 21km, 12km dan 5km.
Pelepasan peserta telah disempurnakan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ir. Sazali Harun.

“Acara ini melibatkan penyertaan dari 31 negara dengan menyaksikan 80 peratus peserta tempatan dan 20 peratus peserta antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, kenyataan itu berkata, acara larian kali ini turut direkodkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
“Seorang peserta acara maraton disempurnakan seorang pelari orang kurang upaya (OKU) bernama Norhazim Izzat dengan kerjasama erat dengan sebuah keluarga sokongan autisme,” jelasnya.
Kenyataan berkata, lebih 16,000 botol plastik yang digunakan sepanjang acara telah dikumpul dan dihantar ke fasiliti kitar semula yang sah, sekali gus memastikan sifar sisa plastik.
“Inisiatif ini dijalankan bersama Trash4Cash dengan sokongan 286 sukarelawan di stesen air,” jelasnya. – UTUSAN









