PUTRAJAYA: Dua pelari jarak jauh negara, K. Prabudass dan Muhammad Haziq Hamzah membuktikan kehebatan masing-masing apabila tampil mendominasi kategori Terbuka Lelaki Malaysia pada SCORE Marathon 2026 yang berlangsung meriah di Putrajaya, hari ini.
Prabudass sekali lagi membuktikan statusnya sebagai antara pelari terbaik negara apabila menjuarai acara separuh maraton 21 kilometer (km) selepas mencatat masa 1 jam 13 minit 4 saat (1:13:04), sekali gus mengatasi cabaran sengit daripada G. Vimal yang meraih tempat kedua dengan catatan 1:13:58, manakala Lai Yi Hng melengkapkan kedudukan tiga terbaik menerusi masa 1:14:57.
Pengalaman luas dimiliki atlet berusia 36 tahun tersebut membolehkannya mengurus tenaga dan rentak larian dengan baik sepanjang saingan.
“Saya datang ke sini untuk menjadi sebahagian daripada sejarah rekod 50,000 peserta dan gembira dapat berlari semula dengan rakan-rakan lama.
“Mengenai rekod kebangsaan, saya akan lihat tahap latihan dahulu. Jika prestasi memberangsangkan, tidak mustahil saya akan memecahkannya lagi di luar negara,” katanya selepas menamatkan perlumbaan.
Pemegang rekod kebangsaan separuh maraton dengan catatan 1:06:53 itu berkata, kebanyakan kejayaan yang diraihnya sebelum ini tidak bergantung kepada program latihan khusus, sebaliknya lebih banyak dipengaruhi kemampuan menyesuaikan diri mengikut situasi perlumbaan serta memberikan prestasi terbaik ketika hari pertandingan.

Dalam pada itu, Muhammad Haziq Hamzah turut mencuri perhatian apabila muncul juara acara maraton penuh 42km selepas menamatkan perlumbaan dengan masa 2 jam 44 minit 45 saat (2:44:45).
Catatan tersebut membolehkan dia meninggalkan Lim Kok Leong di tempat kedua dengan masa 2:48:53, manakala Mohamad Amirul Arif Mohd Azri melengkapkan podium di kedudukan ketiga menerusi catatan 2:49:33.
Menurut Haziq, laluan berbukit di sekitar Putrajaya serta keadaan cuaca yang panas memberikan cabaran cukup besar, namun dia berjaya mengekalkan fokus dan mengawal rentak perlumbaan sehingga ke garisan penamat.
“Alhamdulillah untuk kemenangan kali ini. Fokus saya selepas ini adalah untuk persiapan ke Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM),” katanya.
Sementara itu, penganjuran SCORE Marathon 2026 turut mencipta sejarah tersendiri apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Acara Larian Terbesar di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif SCORE Sports Management, Patricia Tan berkata, pencapaian tersebut merupakan hasil usaha berterusan pihak penganjur sejak memperkenalkan acara berkenaan pada 2014 dalam memastikan standard penganjuran terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Edisi kali ini berjaya menghimpunkan seramai 51,077 peserta sepanjang dua hari penganjuran membabitkan kategori 5km, 10km, 21km dan 42km, sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan serta mengukuhkan reputasi acara itu sebagai antara festival larian terbesar di rantau ini.
“Sejak 2014, kami sentiasa berusaha meningkatkan standard penganjuran. Bajet kami tahun ini lebih banyak digunakan untuk memberi nilai tambah kepada peserta.
“Kami menyasarkan untuk menarik lebih ramai pelari luar negara pada masa hadapan bagi merancakkan pelancongan sukan negara,” katanya.-UTUSAN








