KUALA TERENGGANU: Kadar tarif air di Terengganu dinaikkan bermula semalam selepas Mesyuarat Jemaah Menteri meluluskan permohonan pelarasan tarif oleh Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) berdasarkan Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi tempoh pelaksanaan kedua.
Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ts. Haji Abdul Karim Endut berkata, pelarasan tersebut melibatkan semua kategori pengguna termasuk akaun domestik, bukan domestik, institusi, perkapalan dan pusat data.
Katanya, SATU masih mengekalkan subsidi 20 meter padu air percuma untuk isi rumah B40.
“Langkah ini membolehkan SATU terus menyediakan bekalan air yang stabil, berkualiti dan mampan kepada rakyat selain menyokong pertumbuhan ekonomi Terengganu secara menyeluruh,” katanya hari ini.
Bagi pengguna domestik, caj minimum bulanan kini ditetapkan pada RM6.60 dengan kenaikan lapan sen bagi setiap meter padu pertama sehingga 20 meter padu.
Sementara itu, Abdul Karim berkata, pengguna bukan domestik seperti industri dan perniagaan menerima kenaikan purata sebanyak RM1.24 sehari bagi 75 peratus pengguna dalam kategori itu.
Katanya, kadar sedia ada bagi rumah ibadat dan institusi kebajikan pula dikekalkan sebagai tanda sokongan berterusan kerajaan negeri terhadap sektor keagamaan dan kebajikan.
“Kadar baharu ini masih berada dalam lingkungan munasabah dan kompetitif berbanding negeri-negeri lain. Penggunaan air di masjid dan surau berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) terus ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan subsidi tahunan ditingkatkan daripada RM2.5 juta kepada RM3 juta,” katanya.
Sementara itu, kadar tetap sebanyak RM8 dikenakan bagi setiap meter padu air digunakan oleh kapal berlabuh manakala pusat data dikenakan RM5.30 setiap meter padu dan kedua-duanya tidak termasuk caj elektrik.
SATU turut memperuntukkan RM50 juta setahun untuk menaik taraf loji rawatan air, sistem agihan serta usaha mengurangkan kadar Air Tidak Terhasil (NRW) menerusi pemantauan kebocoran, penggantian paip lama dan penggunaan teknologi pintar. – UTUSAN











