Cek Mek Hot Spring kolam air panas kedua Terengganu

Cek Mek Hot Spring kolam air panas kedua Terengganu

RAZALI Idris (duduk, tengah) ketika melawat Cek Mek Hot Spring di kawasan Ladang Cenderung Putera North, Ban Hol, Cerul, Kemaman, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Terengganu bakal memiliki kolam air panas semula jadi kedua dikenali sebagai Cek Mek Hot Spring yang ditemukan di kawasan Ladang Cenderung Putera North, Ban Hol, Cerul, Kemaman, dekat sini.

Penemuan kolam yang terletak kira-kira 20 kilometer dari kawasan hutan itu dijangka diba­ngunkan sebagai produk ekopelancongan baharu negeri ini selepas kejayaan La Hot Spring di Hulu Besut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, kawasan tersebut menempatkan lebih 10 mata air panas aktif dan memiliki potensi besar untuk dimajukan.

“Suhu air panas di sini hampir menyamai La Hot Spring namun apa yang menjadikan kawasan ini lebih unik adalah kewujudan lebih daripada 10 mata air yang masih aktif dalam satu kawasan.

“Kami telah meninjau lokasi itu yang hanya boleh diakses dengan kenderaan pacuan empat roda kerana ia terletak jauh di dalam ladang kelapa sawit,” katanya.

Razali berkata, taklimat awal telah diberikan kepada Pejabat Daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membincangkan cadangan pembangunan kawasan tersebut secara terancang.

“Kerajaan negeri kini sedang meneliti penglibatan semua pemegang taruh dan pihak berkepentingan di lokasi itu sebelum memulakan sebarang pembangunan.

“Kami bercadang menjadikan kawasan ini bukan sahaja sebagai lokasi riadah dan pelanco­ngan tetapi sebagai pusat rawatan kesihatan alternatif berasaskan sumber air panas semula jadi,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×