Gerakan gesa pemberian hak milik kekal Kampung Baru

Gerakan gesa pemberian hak milik kekal Kampung Baru

DOMINIC LAU HOE CHAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggesa Kerajaan Perpaduan mempertimbangkan pemberian hak milik kekal kepada penduduk Kampung Baru, sejajar dengan semangat inklusif dan dasar Madani yang ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, hak milik kekal bukan sahaja meningkatkan nilai hartanah penduduk malah mampu menyumbang kepada hasil cukai kerajaan dalam jangka panjang.

Katanya, meskipun terdapat kekangan undang-undang di bawah Kanun Tanah Negara, kerajaan seharusnya berani membuat anjakan baharu sekiranya serius mahu memperkasa komuniti tersebut.

“Pelan Induk Pembangunan Kampung Baru di bawah RMK13 adalah langkah yang dialu-alukan tetapi usaha ini akan lebih bermakna jika digerakkan bersama pemberian hak milik kekal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dominic berkata, isu Kampung Baru kini berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) diterajui oleh Nga Kor Ming yang pernah memperjuangkan perkara sama ketika berada di pihak pembangkang.

Katanya, statistik KPKT pada tahun 2015 mencatatkan sebanyak 613 Kampung Baru di seluruh negara, termasuk 436 Kampung Baru Tradisional, 134 Kampung Tersusun Semula dan 43 Kampung Nelayan.

Beliau berkata, Nga sebelum ini menyatakan bahawa pemberian hak milik kekal tidak membawa sebarang kemudaratan malah mampu mengembalikan keadilan kepada warga emas Kampung Baru yang pernah dipindahkan semasa Darurat 1948.

“Saya masih ingat hujah beliau ketika itu dibuat berdasarkan kajian mendalam. Kini masanya untuk beliau buktikan komitmen itu melalui pelaksanaan dasar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menyentuh persoalan kemampuan kewangan kerajaan bagi melaksanakan RMK13 yang melibatkan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM430 bilion.

Katanya, kerajaan perlu menjelaskan sama ada dana itu diperoleh melalui peningkatan hutang atau cukai baharu, memandangkan beban fiskal negara yang sedia ada sudah membimbangkan.

“Gerakan akan mengkaji keseluruhan kandungan RMK13 secara teliti untuk menilai kesan dan keberkesanannya terhadap rakyat dan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×