PBB lulus Deklarasi New York untuk Palestin, laksana penyelesaian dua negara - Utusan Malaysia

PBB lulus Deklarasi New York untuk Palestin, laksana penyelesaian dua negara

KEMUSNAHAN di Semenanjung Gaza akibat bedilan udara tentera Israel setakat 17 Julai lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai penyelesaian damai konflik Israel-Palestin berakhir pada Rabu di ibu pejabat PBB, dengan penekanan kuat terhadap pelaksanaan penyelesaian dua negara.

Persidangan yang berlangsung dari 28 hingga 30 Julai itu menghimpunkan wakil tertinggi dari hampir 130 negara, dan ditutup dengan penerimaan dua dokumen penting iaitu ‘Seruan New York Call’ dan ‘Deklarasi New York’, kedua-duanya menggesa pelaksanaan penyelesaian dua negara sebagai satu-satunya jalan ke arah keamanan yang berkekalan.

Bagaimanapun, Amerika Syarikat (AS) dan Israel tidak menghadiri persidangan tersebut, yang dipengerusikan bersama oleh Perancis dan Arab Saudi.

Dalam ucapan pra-pembukaan, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres memberi amaran penyelesaian dua negara kini berada di “ambang kehancuran”, dan menyeru masyarakat antarabangsa agar tidak membiarkan konflik ini terus berlarutan.

“Kewujudan sebuah negara bagi rakyat Palestin adalah hak, bukan satu ganjaran. Penafian terhadap hak ini hanya akan memperkuatkan kedudukan golongan pelampau,” tegas Guterres.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza, yang disifatkannya sebagai “terjerumus dalam malapetaka”.

Sebanyak 15 negara, termasuk Australia, Kanada, Perancis dan Sepanyol, menyatakan sokongan mereka terhadap penyelesaian dua negara melalui dokumen ‘Seruan New York’. Negara-negara tersebut menyuarakan kebimbangan terhadap korban awam di Gaza dan menggesa masyarakat antarabangsa untuk mempertimbangkan pengiktirafan rasmi terhadap Palestin.

“Kami bersetuju untuk mengambil tindakan bersama bagi menamatkan perang di Gaza serta mencapai penyelesaian yang adil, aman dan berkekalan melalui penyelesaian dua negara,” menurut kenyataan bersama itu.

Deklarasi berkenaan juga memberi amaran konflik berterusan memberi kesan kemanusiaan yang teruk dan mengancam kestabilan serantau serta global.

Negara-negara yang menandatangani deklarasi termasuk Turkiye, Arab Saudi, Brazil, Kanada, Mesir, Indonesia, Ireland, Itali, Jepun, Jordan, Mexico, Norway, Qatar, Senegal, Sepanyol, United Kingdom, Kesatuan Eropah dan Liga Arab.

Sepanjang persidangan, United Kingdom dan Kanada turut mengumumkan rancangan untuk mengiktiraf Negara Palestin secara rasmi pada sesi Perhimpunan Agung PBB ke-80 yang dijadualkan berlangsung pada September 2025.

Langkah itu dilihat sebagai usaha memperkukuh kedudukan rakyat Palestin di pentas antarabangsa dan memberi tekanan diplomatik kepada Israel agar menghentikan serangan ketenteraan di Gaza.

Sementara itu, di Tel Aviv, kerajaan Israel memberi amaran ia mungkin merampas lebih banyak wilayah di Gaza sebagai tekanan terhadap Hamas. Ugutan itu dibuat sehari selepas Britain mengumumkan sokongannya terhadap pengiktirafan Palestin.

Ahli Kabinet Keselamatan Israel, Zeev Elkin, menyatakan Israel bersedia meluaskan lagi kawalan ketenteraannya sekiranya Hamas terus melengahkan rundingan gencatan senjata.

Israel sebelum ini menolak sebarang usaha untuk mengiktiraf Palestin, mendakwa tindakan sedemikian akan memberi ganjaran kepada Hamas atas serangan mereka pada Oktober 2023, yang mencetuskan gelombang keganasan terbaharu di rantau itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×