POLITIK Malaysia ini, kalau kita rajin perhati, kadang-kadang lebih banyak dibentuk oleh isyarat yang tidak disebut berbanding yang dicanang dalam sidang media. Dalam satu mesyuarat besar pembangkang baru-baru ini, hampir semua parti pembangkang hadir. Daripada yang besar sampai ke yang kecil, daripada yang baru didaftar ke yang sudah lama tidak relevan. Tapi Pas, sebagai parti yang mempunyai kerusi terbanyak dalam blok pembangkang, memilih untuk tidak muncul.
Bagi orang kampung, ini macam majlis kenduri yang tuan rumahnya Tan Sri Muhyiddin Yassin, tapi jiran paling rapat, si Pas, tidak datang. Alasannya, konon pimpinan utama parti baharu pulang dari Alor Setar sempena sambutan ulang tahun ke-100 Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Tapi pelik juga sebab Muhyiddin pun ada di Alor Setar. Jadi kenapa yang seorang sempat hadir mesyuarat, yang tapi Pas tidak hantar seorang pun wakilnya?
Inilah yang membuat ramai tertanya-tanya. Adakah ini tanda retak yang makin jelas antara Pas dan Muhyiddin? Kalau parti sebesar Pas pun mula menjauh, tidakkah ini mesej bahawa kepimpinan sedia ada sudah tidak lagi diyakini?
Muhyiddin, sebagai bekas Perdana Menteri dan orang lama dalam politik, seharusnya arif membaca angin. Beliau pernah menjadi Perdana Menteri dan kini, pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Hakikatnya, nama beliau sudah tidak memberi gema. Kepimpinannya dilihat statik dan terputus dari denyut nadi rakyat.
Ramai yang menanti kemunculan sosok baharu dalam PN. Bukan sekadar tukar wajah tetapi membawa pendekatan yang lebih hidup, lebih lantang dan mampu membina jambatan dengan kelompok di luar kubu tradisi pembangkang. Politik ini bukan sekadar duduk di atas pentas ceramah dan ulang skrip lama. Ia perlukan iltizam untuk mendekati rakyat, merasai susah mereka dan memahami keresahan sebenar di bawah.
Lihat sahaja bagaimana pemimpin besar dalam sejarah politik kita pernah membina gelombang perubahan. Mereka tidak menunggu media atau populariti jatuh dari langit. Mereka turun ke bawah, mendekati komuniti dari satu daerah ke satu daerah, membina harapan secara perlahan dan konsisten. Perjuangan mereka bukan bermusim dan bukan sekadar untuk menang pilihan raya, tetapi untuk mengangkat agenda yang lebih besar daripada diri sendiri.
Dalam kes Muhyiddin, apa yang ada? Kenyataan media yang hambar dan gerak kerja yang tidak seberapa. Bila suara sudah tidak digeruni dan langkah sudah tidak diikuti, adakah masih wajar duduk di kerusi empuk?
Dr. Mahathir sendiri pun tahu bila masanya untuk berundur. Tidak perlu tunggu dijatuhkan, beliau sendiri yang letak jawatan bila rasa kepercayaan kian hilang lima tahun dahulu. Ini bukan soal kalah atau menang. Ini soal menghormati perjuangan dan memberi ruang kepada pelapis yang mungkin lebih segar dan lebih diterima rakyat.
PN perlu wajah baharu. Kalau mahu mengorak langkah ke hadapan, jangan takut lepaskan masa lalu. Dan kita tunggulah Muhyiddin sendiri untuk membuka jalan. Itu cara sopan dan mengikut lumrah dan adat kita.
Kalau kapal tidak lagi bergerak, kadangkala bukan angin yang salah. Mungkin nakhodanya yang sudah hilang arah. – UTUSAN
ASRI YAAKUB
Segamat










