Amaran tsunami ditarik balik, jutaan penduduk pulang semula ke rumah - Utusan Malaysia

Amaran tsunami ditarik balik, jutaan penduduk pulang semula ke rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUERTO AYORA, Ecuador: Amaran tsunami ditarik balik di seluruh kawasan Lingkaran Pasifik pada hari Rabu, membolehkan jutaan penduduk yang dipindahkan sementara untuk kembali ke rumah masing-masing.

Selepas satu daripada gempa bumi terkuat yang pernah direkodkan menggegarkan kawasan timur jauh Russia yang jarang didiami, lebih daripada sedozen negara, dari Jepun hingga Amerika Syarikat (AS) dan Ecuador mengeluarkan amaran kepada rakyat agar menjauhi kawasan pesisir pantai.

Gelombang ombak setinggi sehingga empat meter diramalkan melanda beberapa bahagian Pasifik semalam, susulan gempa berkekuatan 8.8 yang berlaku di luar Semenanjung Kamchatka, Russia.

Tsunami ini menyebabkan gangguan besar-besaran. Peru menutup 65 daripada 121 pelabuhannya di Lautan Pasifik dan pihak berkuasa di Maui membatalkan penerbangan masuk dan keluar dari pulau Hawaii itu.

Namun, kebimbangan terhadap bencana besar tidak menjadi kenyataan, apabila satu demi satu negara menarik balik atau menurunkan tahap amaran dan membenarkan penduduk pesisir pantai pulang semula.

Di Jepun, hampir dua juta orang diarahkan berpindah ke kawasan tinggi, sebelum amaran diturunkan atau dibatalkan.

Loji nuklear Fukushima di timur laut Jepun yang musnah akibat gempa bumi dan tsunami pada 2011 telah dikosongkan sementara.

Satu-satunya kematian yang dilaporkan ialah seorang wanita yang maut selepas memandu keretanya terjun dari tebing ketika cuba melarikan diri, menurut laporan media tempatan.

Di Chile, pihak berkuasa melaksanakan apa yang disifatkan oleh Kementerian Dalam Negeri sebagai “mungkin pemindahan terbesar yang pernah dilakukan dalam sejarah negara” dengan 1.4 juta orang diarahkan ke kawasan tinggi.

Namun, tiada kerosakan atau korban jiwa dilaporkan di Chile, dan ombak yang melanda pesisiran utara negara itu hanya setinggi 60 sentimeter (dua kaki).

Di Kepulauan Galapagos, di mana ombak setinggi tiga meter dijangkakan, penduduk menarik nafas lega selepas institut oseanografi tentera laut Ecuador mengumumkan bahawa bahaya telah berlalu.

Penduduk tempatan melaporkan paras laut turun dan naik secara tiba-tiba, satu fenomena biasa apabila tsunami menghampiri.

Namun, hanya gelombang setinggi sedikit lebih satu meter dilaporkan, tanpa sebarang kerosakan.

“Semuanya sudah tenang, saya kembali bekerja. Restoran sudah dibuka semula dan tempat-tempat pelancongan juga beroperasi seperti biasa,” kata Isabel Grijalva, penduduk Santa Cruz berusia 38 tahun.

Sebelum itu, taman negara ditutup, sekolah ditangguhkan, pembesar suara mengeluarkan amaran dan pelancong dipindahkan dari bot pelancongan ke kawasan selamat di daratan.

Kerosakan terburuk dilaporkan berlaku di Russia, apabila tsunami melanda pelabuhan Severo-Kurilsk dan menenggelamkan kilang perikanan tempatan, menurut pihak berkuasa.

Rakaman televisyen kerajaan Russia menunjukkan bangunan dan serpihan dihanyutkan ke laut.

Gelombang air itu mencecah sehingga ke tugu Perang Dunia II di bandar tersebut, kira-kira 400 meter dari pesisir pantai, kata Datuk Bandar Alexander Ovsyannikov.

Gempa bumi awal turut menyebabkan kerosakan kecil dan kecederaan ringan, meskipun ia merupakan gempa terkuat sejak 2011, yang telah meragut 15,000 nyawa di Jepun.

Saintis Russia turut melaporkan bahawa gunung berapi Klyuchevskoy meletus sejurus selepas gempa bumi berlaku.

“Lava panas mengalir di cerun barat. Terdapat cahaya terang dan letupan kelihatan di atas gunung berapi,” menurut Kajian Geofizik Rusia.

Gempa hari Rabu itu adalah yang terkuat di wilayah Kamchatka sejak tahun 1952, menurut perkhidmatan pemantauan seismik wilayah tersebut, yang turut memberi amaran tentang kemungkinan gempa susulan sehingga magnitud 7.5.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) menyatakan gempa ini merupakan antara 10 gempa bumi terkuat yang direkodkan sejak tahun 1900.

Gempa itu diikuti oleh puluhan gegaran susulan yang terus menggoncang Timur Jauh Russia, termasuk satu gegaran berkekuatan 6.9.

USGS turut menyatakan terdapat 59 peratus kemungkinan berlaku gegaran susulan melebihi magnitud 7.0 dalam tempoh seminggu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×