Bekas peguam peribadi Trump dilantik Hakim AS

Bekas peguam peribadi Trump dilantik Hakim AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Bekas peguam peribadi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Persekutuan oleh Senat AS menerusi undian kemenangan yang tipis.

Senat yang dikawal Parti Republikan mengesahkan pelantikan Emil Bove sebagai hakim di Mahkamah Rayuan Litar Ketiga AS, satu jawatan seumur hidup walaupun menerima bantahan keras daripada Demokrat, termasuk tindakan keluar dewan oleh ahli jawatankuasa Senat awal bulan ini sebagai tanda protes.

Dua senator Republikan, Lisa Murkowski dari Alaska dan Susan Collins dari Maine mengundi menentang pencalonan tersebut. 

Namun, Republikan yang mempunyai majoriti 53-47 tetap berjaya meluluskan undian.

Bove, 44 tahun, merupakan bekas pendakwa raya persekutuan dan pernah memegang jawatan ketiga tertinggi dalam Jabatan Kehakiman ketika dicalonkan oleh Trump.

Pelantikannya mencetuskan kritikan hebat Ketua Demokrat, Senator Dick Durbin yang menyifatkan Bove sebagai penyokong tegar Trump.

Lebih 900 bekas peguam Jabatan Kehakiman turut menghantar surat kepada Jawatankuasa Kehakiman Senat menentang pencalonan Bove dengan lebih 75 bekas hakim menyifatkan tidak wajar seorang Presiden mencalonkan peguam bela jenayahnya sendiri untuk jawatan kehakiman Persekutuan.

Bove sebelum ini mewakili Trump dalam kes mahkamah di New York yang membawa kepada sabitan atas 34 pertuduhan memalsukan rekod perniagaan bagi menutup bayaran kepada seorang bintang lucah.

Beliau juga membela Trump dalam dua kes jenayah persekutuan lain yang akhirnya tidak dibawa ke mahkamah dan digugurkan selepas Pilihan Raya Presiden 2024.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×