UKM anjur Heart Of The Rainbow semai kesedaran autisme

UKM anjur Heart Of The Rainbow semai kesedaran autisme

KELEWATAN mendapatkan terapi boleh memberi kesan terhadap perkembangan anak autisme. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kesedaran terhadap autisme bukan sekadar memahami gangguan perkembangan, tetapi juga mengiktiraf keunikan dan potensi luar biasa individu yang mengalaminya.

Bagi memperkukuh kesedaran tersebut, pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Graduate School of Business (GSB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengambil inisiatif murni menganjurkan Karnival Kesedaran Autisme: Heart Of The Rainbow pada 23 Ogos ini, bertujuan membina masyarakat yang lebih inklusif dan prihatin.

UKM dalam satu kenyataan berkata, karnival tersebut merangkumi dua komponen utama, iaitu siri seminar pencerahan untuk ibu bapa dan penjaga serta aktiviti seni dan kraf interaktif khas buat kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun.

Program dijadualkan bermula seawal pukul 9 pagi menampilkan tokoh-tokoh terkenal dalam bidang pendidikan khas dan penjagaan kanak-kanak autisme.

Antara panel yang dijadualkan tampil termasuklah Dr. Hasnah Toran, Ungku Nurilidayana Ungku Mohamad Esa yang membincangkan mengenai topik ‘Autisme: Perkongsian Masa Depan Anak Anda’ serta cara membimbing dan memahami tingkah laku anak autisme.

Bagi kanak-kanak, pelbagai aktiviti interaktif disediakan termasuk mewarna, lukisan jari, lukisan pasir dan pembuatan slime.

Setiap aktiviti dikenakan yuran sebanyak RM10 dan ibu bapa yang menghadiri seminar boleh meninggalkan anak mereka selama maksimum dua jam di bawah pengawasan rapi pihak penganjur.

Karnival ini turut membawa mesej ‘Sokongan anda hari ini, harapan untuk mereka esok’ menjadikannya lebih daripada sekadar acara yang diadakan.

Sebarang sumbangan dan penyertaan dalam program ini akan disalurkan kepada organisasi berkaitan autisme, bagi memberi manfaat jangka panjang kepada golongan istimewa tersebut.

Orang ramai yang berminat boleh mendaftar dengan mengimbas kod QR yang disediakan pihak penganjur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×