NEW YORK: Pesuruhjaya Liga Bola Sepak Kebangsaan (NFL), Roger Goodell, memaklumkan dalam satu memo kepada para kakitangan, pejabat liga di New York akan kekal ditutup sekurang-kurangnya sehingga 8 Ogos berikutan insiden tembakan ngeri yang berlaku di bangunan ibu pejabat mereka.
Menurut Jabatan Polis New York, seorang lelaki dikenali sebagai Shane Tamura dari Las Vegas melepaskan tembakan di bangunan pencakar langit yang menempatkan pejabat NFL, mengorbankan empat orang dan mencederakan seorang lelaki yang dikenal pasti oleh Goodell sebagai kakitangan liga.
“Hati kami bersama semua mangsa dan keluarga mereka, dan kami amat berterima kasih kepada pasukan penyelamat dan kakitangan perubatan yang bertindak pantas serta terus memberikan rawatan.
“Doa dan ingatan kami khususnya kepada rakan sekerja kami yang terkesan. Ketika ini beliau berada bersama keluarganya dan komuniti NFL, dan kami semua terus berharap serta menyokong pemulihannya sepenuhnya,” tulis Goodell dalam kenyataan itu.
Goodell turut menggesa semua pekerja yang biasanya hadir ke pejabat untuk bekerja dari rumah.
“Kami mohon agar anda tidak cuba memasuki bangunan tersebut sehingga kami mengesahkan ia benar-benar selamat untuk kita kembali bekerja,” katanya.
NFL turut merancang untuk mengadakan satu sesi maya pada Rabu sebagai ruang sokongan.
“Kita menjadi lebih kuat apabila saling menyokong satu sama lain. Sebagai ruang buat komuniti kita, kami akan mengadakan perjumpaan maya esok bagi membolehkan kita berhubung, berkongsi dan memberi sokongan bersama.
“Ini adalah masa yang mencabar buat seluruh pasukan kita. Tolong jaga diri dan satu sama lain. Jika anda perlukan bantuan tambahan, jangan teragak-agak untuk menghubungi pengurus atau bahagian sumber manusia. Kami sentiasa ada untuk anda,” kata Goodell.-AFP










