Pelayan restoran maut tercekik keju Mozzarella ketika rehat

Pelayan restoran maut tercekik keju Mozzarella ketika rehat

ADRIANO Poponessi maut selepas tercekik keju mozzarella ketika berehat semasa waktu kerja di Rom, baru-baru ini. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROM: Seorang pelayan restoran Itali maut dalam satu insiden tragis selepas tercekik keju mozzarella semasa berehat di sebuah restoran tepi pantai di Sabaudia, barat Itali, pada Sabtu lalu.

Mangsa, Adriano Poponessi, 59, yang bekerja di restoran terbabit semasa festival muzik berlangsung dilaporkan makan seketul keju mozzarella sebelum dia tercekik.

Rakan-rakan sekerja yang menyedari keadaan itu segera membantunya namun gagal sebelum dia dikejarkan ke hospital menaiki helikopter.

Sebaik tiba di hospital, Poponessi mengalami serangan jantung dan disahkan meninggal dunia selepas lebih sejam menerima rawatan kecemasan.

Susulan kejadian itu, pihak pendakwa raya wilayah Latina membuka siasatan, manakala penganjur festival muzik mengambil keputusan membatalkan baki acara sebagai tanda penghormatan kepada mendiang.

“Kami amat sedih dengan pemergian tragis Poponessi dan kami meratapi kehilangan ini.” menurut penganjur dalam satu kenyataan.

Rakan-rakan dan kenalan rapat turut meluahkan kesedihan mereka menerusi media sosial, termasuk pihak pengurusan restoran 2 Veneti di London yang turut mengenalinya.

“Dengan hati yang hancur dan air mata yang tidak berhenti, kami berkongsi berita pemergian tragis dan tidak masuk akal ini.

“Adriano Poponessi adalah sahabat yang disayangi, yang sentiasa menghidupkan malam para pelanggan kami dengan kehangatannya. Dia akan sentiasa dirindui,” kata mereka.

Beberapa pengguna media sosial menyifatkan Poponessi sebagai insan yang berhati besar dan penuh dengan keceriaan, serta memiliki senyuman yang mampu menceriakan sesiapa sahaja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×