Perumpamaan Ahmad Fadhli dangkal - Mahfuz

Perumpamaan Ahmad Fadhli dangkal – Mahfuz

MAHFUZ OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kenyataan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang mengumpamakan Malaysia sebagai ‘monyet’ dalam konflik serantau adalah dangkal kerana menghina kedaulatan negara sendiri.

Beliau berkata, perumpamaan yang turut membandingkan Thailand dan Kemboja seperti kambing dan biri-biri berebut pisang bukan sahaja merendahkan martabat negara-negara berdaulat itu, malah memperlekehkan peranan diplomasi Malaysia yang diiktiraf dunia.

“Malaysia bukan monyet, Malaysia adalah pendamai. Negara kita dihormati di peringkat ASEAN dan antarabangsa kerana komitmen terhadap diplomasi damai, bukan sikap campur tangan semberono seperti didakwa,” katanya.

Mahfuz mendakwa, kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas itu jelas memperlihat wajah sebenar politik kebencian Pas yang sanggup menghina negara sendiri hanya kerana berbeza pandangan politik dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Apakah kebencian terhadap Anwar sudah sampai ke tahap sanggup menghina negara sendiri,” katanya.

Menurut Mahfuz, Malaysia merupakan antara negara pengasas ASEAN yang memainkan peranan penting dalam menyelesaikan pelbagai isu serantau seperti krisis Myanmar, Laut China Selatan dan pelarian Rohingya.

“Apakah beliau lupa sejarah diplomatik negaranya sendiri? Malaysia bukan negara picisan, kita diiktiraf sebagai pendamai yang berperanan besar dalam menjaga kestabilan rantau ini,” katanya.

Beliau turut menyindir Pas dengan menyatakan bahawa ‘pisang’ sebenar yang dimaksudkan dalam perumpamaan itu adalah kuasa dan pengaruh yang didambakan parti itu, biarpun terpaksa bersekongkol dengan ‘harimau’ politik sambil menunggang agama.

“Lidah pembangkang lebih suka jadi monyet daripada rakyat bermaruah. Pas dan Perikatan Nasional (PN) bukan sekadar menentang Anwar, mereka sedang merosakkan dan menjatuhkan imej Malaysia. Yang gelojoh mengejar pisang kuasa itulah sebenarnya monyet dalam politik negara,” tegasnya.

Kelmarin, Ahmad Fadhli dalam Facebook miliknya memuat naik hantaran berkaitan konflik antara Thailand-Kemboja dengan menyatakan ‘kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang’.

Hantaran yang turut mengandungi lukisan ketiga-tiga haiwan itu dan tangkap layar akhbar Bangkok Post berkaitan peperangan itu kemudian dipercayai dipadam Ahmad Fadhli setelah menerima kecaman pelbagai pihak.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×