KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi berjumlah RM1.1 juta kepada ibu kepada model Belanda, mendiang Ivana Esther Robert Smit yang ditemukan maut selepas terjatuh ke atas balkoni sebuah kondominium, lapan tahun lalu.
Selain itu, Hakim Roz Mawar Rozain turut memerintahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat semula kematian model tersebut.
“Kesemua defendan diisytiharkan gagal menjalankan tugas mereka sebagaimana yang diarahkan oleh Mahkamah Tinggi pada 2019.
“Saya dengan ini mengeluarkan perintah mandamus (memaksa) agar defendan pertama (Ketua Polis Negara) untuk mengeluarkan defendan kedua (pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Faizal Abdullah) daripada pasukan petugas.
“PDRM diarahkan untuk menyiasat semula sebagaimana yang diarahkan oleh Mahkamah Tinggi pada 2019. PDRM diarahkan untuk memberi taklimat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) setiap tiga bulan bermula hari ini berhubung status siasatan dan AGC perlu meneliti sama ada bukti mencukupi untuk tindakan selanjutnya,” kata hakim itu.
Pada 22 November 2019, Mahkamah Tinggi di sini mengetepikan keputusan Koroner dan mengarahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) meminta polis menyiasat punca kematian model berusia 19 tahun itu.
Hakim Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) dalam keputusannya menyatakan, kematian model itu adalah disebabkan ‘individu yang dikenali atau tidak dikenali’ dan tidak ada penyiasatan yang mencukupi dijalankan oleh pihak berkuasa.
BERITA SELANJUTNYA MENYUSUL










