Lebih 300 kakitangan PBB terkorban dalam serangan tentera Israel di Gaza - Utusan Malaysia

Lebih 300 kakitangan PBB terkorban dalam serangan tentera Israel di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Lebih 300 kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dterbunuh akibat serangan tentera Israel di Semenanjung Gaza sejak Oktober tahun lalu, menurut Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Volker Türk.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, beliau turut memetik angka dari Kementerian Kesihatan Gaza yang menyatakan lebih 200,000 rakyat Palestin telah terbunuh atau cedera sejak 7 Oktober 2023 bersamaan hampir 10 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk di wilayah tersebut.

“Kita tidak boleh melupakan bahawa lebih 300 rakan sekerja kami sendiri telah terkorban akibat tindakan ketenteraan Israel,” kata Türk.

Beliau turut mendedahkan lebih 1,000 nyawa melayang sejak penghujung Mei ketika mangsa-mangsa berusaha mendapatkan makanan dalam keadaan darurat.

Katanya, pusat-pusat pengagihan bantuan yang dikendalikan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza yang disokong Amerika Syarikat dan Israel gagal berfungsi dengan berkesan, dan tidak mampu menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam skala yang diperlukan.

“Keadaan di lapangan semakin parah apabila usaha pengagihan bantuan menjadi semakin tidak teratur, bercampur dengan kawalan ketenteraan yang menyukarkan penyampaian kepada rakyat yang benar-benar memerlukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Türk menegaskan komitmen PBB untuk terus menyokong rakyat Palestin dalam usaha membina negara merdeka mereka sendiri.

“Kami di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bersedia memberikan segala bentuk sokongan yang diperlukan oleh rakyat Palestin untuk membina sebuah negara berdaulat mereka sendiri, berlandaskan penghormatan terhadap hak asasi manusia dan menuju ke arah keamanan yang adil,” katanya lagi.

Kenyataan tersebut hadir ketika situasi kemanusiaan di Gaza terus memburuk, dengan angka kematian yang meningkat saban hari serta kebuntuan dalam penyampaian bantuan antarabangsa yang mencukupi kepada penduduk yang terjejas. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×