Pengunjung pantai nyaris ditimpa tebing runtuh - Utusan Malaysia

Pengunjung pantai nyaris ditimpa tebing runtuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DEVON: Detik cemas tercetus apabila runtuhan batu besar dari tebing hampir menimpa sekumpulan pengunjung yang sedang bersantai di pantai Budleigh Salterton, Devon, Britain, pada Sabtu lalu.

Insiden mengejutkan itu menyaksikan ribuan tan batu terjunam ke pesisir pantai dengan dentuman kuat, sekali gus menghasilkan kepulan debu merah yang tebal memenuhi udara dan menyebar ke laut.

Menurut saksi kejadian, James Walters, runtuhan itu berlaku secara tiba-tiba dan menggemparkan para pengunjung.

“Saya lihat ribuan tan batu runtuh dari tebing. Polis, pasukan penyelamat dan pengawal pantai segera berada di lokasi. Mujur tiada kecederaan dilaporkan, namun laluan tebing terpaksa ditutup serta-merta,” katanya.

Pasukan Sidmouth Independent Lifeboat mengesahkan telah dikerah oleh Pusat Kawalan Pantai Solent selepas runtuhan besar dilaporkan di pantai tersebut.

“Objektif utama kami adalah mencari mangsa yang mungkin terperangkap di zon runtuhan, selain memberi sokongan kepada pasukan Beer dan Exmouth Coastguard yang telah tiba terlebih dahulu,” jelas jurucakap pasukan itu.

Setibanya di lokasi, anggota penyelamat mendapati beberapa orang terperangkap di bahagian pantai yang terputus akibat runtuhan. Dua individu berjaya dibawa keluar dengan selamat dan dihantar semula ke kawasan selamat di Budleigh Beach.

Pasukan Penyelamat Pantai Exmouth dalam kenyataan berasingan memaklumkan pihak Majlis Daerah Devon telah menutup sebahagian laluan pesisir pantai berkenaan bagi tujuan keselamatan.

“Orang ramai diminta agar tidak menghampiri kawasan runtuhan dan tidak cuba untuk memintas sekatan yang telah diletakkan,” tegas kenyataan itu.

Kejadian ini berlaku hampir setahun selepas satu lagi insiden runtuhan dramatik di pantai Jacob’s Ladder, Sidmouth, yang turut menyebabkan kepulan debu tebal dan para pengunjung terpaksa melarikan diri ke laut bagi menyelamatkan diri. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×