DAMSYIK: Syria akan mengadakan pilihan raya Parlimen pada September, menurut ketua badan yang bertanggungjawab menguruskan proses pilihan raya negara itu, menandakan kali pertama pilihan raya diadakan sejak kejatuhan bekas Presiden Bashar al-Assad dalam serangan kumpulan pemberontak pada Disember lalu.
Mohammed Taha al-Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Tinggi Pilihan Raya Majlis Rakyat, memaklumkan kepada agensi berita rasmi SANA pada Ahad bahawa pilihan raya dijadual berlangsung antara 15 hingga 20 September.
Pilihan raya ini bakal menjadi yang pertama diadakan di bawah pentadbiran baharu negara itu, yang kini dipimpin oleh Presiden Interim, Ahmed al-Sharaa.
Satu per tiga daripada 210 kerusi parlimen akan dilantik secara langsung oleh al-Sharaa, manakala selebihnya akan dipilih melalui proses undian.
Dalam satu temu bual bersama laman Erem News baru-baru ini, ahli jawatankuasa pilihan raya, Hassan al-Daghim berkata, bahawa kolej pemilih akan ditubuhkan di setiap wilayah Syria bagi mengundi bagi kerusi-kerusi pilihan.
Sebuah perlembagaan sementara yang ditandatangani oleh al-Sharaa pada Mac menyeru penubuhan sebuah Jawatankuasa Rakyat sebagai parlimen sementara sehingga perlembagaan tetap digubal dan pilihan raya umum penuh dapat diadakan, suatu proses yang dijangka mengambil masa bertahun-tahun.
Pengumuman mengenai pilihan raya ini hadir dalam suasana ketegangan yang semakin meningkat dalam negara khususnya selepas tercetusnya keganasan sektarian di wilayah selatan Suwayda awal bulan ini.
Pertempuran yang berlaku mengorbankan ratusan nyawa dan mengancam kestabilan fasa peralihan pascaperang Syria yang masih rapuh.
Keganasan itu berpunca daripada insiden penculikan balas antara puak Bedouin bersenjata dan pejuang daripada komuniti minoriti Druze. Pasukan kerajaan Syria kemudian campur tangan, kononnya untuk menghentikan keganasan namun dilaporkan menyebelahi pihak puak Bedouin.
Terdapat laporan bahawa tentera kerajaan telah menembak mati orang awam Druze serta membakar dan menjarah rumah-rumah mereka.
Situasi itu turut mencetuskan campur tangan dari Israel yang melancarkan serangan udara terhadap pasukan kerajaan Syria serta ibu pejabat Kementerian Pertahanan negara itu. Israel menyatakan bahawa tindakannya adalah bagi mempertahankan komuniti minoriti Druze.










