Google akui gagal beri amaran gempa bumi di Turkiye pada Februari 2023 - Utusan Malaysia

Google akui gagal beri amaran gempa bumi di Turkiye pada Februari 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Google mengakui sistem gempa bumi miliknya gagal memberi amaran kepada 10 juta penduduk di kawasan berisiko tinggi semasa gempa bumi dahsyat berukuran 7.8 skala Richter yang melanda tenggara Turkiye pada 6 Februari 2023.

Gempa yang berlaku pada pukul 4.17 pagi, ketika majoriti penduduk tidur itu meragut lebih 55,000 nyawa dan mencederakan lebih 100,000 orang, menjadikannya antara bencana paling buruk dalam sejarah moden Turkiye.

Sistem amaran awal Google, dikenali sebagai Android Earthquake Alerts (AEA), sepatutnya memberi amaran sehingga 35 saat lebih awal kepada pengguna Android — sistem operasi yang digunakan oleh lebih 70 peratus telefon bimbit di Turkiye.

Namun, kegagalan sistem berlaku apabila hanya 469 amaran kecemasan “Take Action” dihantar untuk gempa utama, dan kira-kira 500,000 pengguna menerima amaran rendah “Be Aware”, yang tidak mengeluarkan bunyi atau mengatasi mod senyap pada telefon.

Menurut Google, kesilapan algoritma menyebabkan sistem tersalah anggap magnitud gempa sebagai hanya antara 4.5 hingga 4.9, jauh lebih rendah daripada kekuatan sebenar. Kesilapan ini menyebabkan sistem gagal mencetuskan amaran kecemasan penuh yang diperlukan.

Kajian pasca kejadian mendapati, sekiranya algoritma berfungsi dengan tepat, sehingga 10 juta pengguna berpotensi menerima amaran menyelamatkan nyawa sebelum gegaran utama melanda.

Pakar-pakar, termasuk Profesor Harold Tobin dari Pacific Northwest Seismic Network, menyuarakan kebimbangan terhadap ketelusan dan kebergantungan terhadap teknologi yang belum diuji sepenuhnya.

“Sistem seperti ini perlu bertanggungjawab kerana ia melibatkan keselamatan nyawa manusia,” kata beliau.

Google mempertahankan sistem AEA sebagai pelengkap kepada sistem amaran nasional dan bukan pengganti. Mereka turut berjanji untuk menambah baik algoritma berdasarkan setiap insiden gempa bumi yang berlaku.

Insiden ini telah mencetuskan perdebatan global tentang peranan teknologi dalam sistem amaran bencana, serta menekankan keperluan untuk sistem yang lebih efisien, tepat dan boleh dipercayai bagi melindungi nyawa di masa hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×