Trump benarkan Israel ‘hapuskan Hamas’ dari Gaza

Trump benarkan Israel ‘hapuskan Hamas’ dari Gaza

ORANG ramai menyertai demonstrasi membantah kekejaman Israel terhadap Gaza di Boston, Amerika Syarikat. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Ame­rika Syarikat (AS), Donald Trump ‘memberi kebenaran’ kepada rejim Zionis untuk ‘melupuskan kumpulan pejuang Hamas’ dari Gaza.

Trump membuat kenyataan itu selepas mendakwa Hamas tidak memberikan maklum balas yang positif dalam usaha melakukan gencatan senjata.

Tindakan itu bertentangan dengan kenyataan Trump beberapa minggu sebelum ini yang yakin gencatan senjata di Gaza dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

“Sudah tiba masanya untuk Israel ‘menyelesaikan tugas mereka’ dan meningkatkan operasi ketenteraan terhadap Hamas.

“Saya rasa mereka (Hamas) mahu mati dan ini sangat teruk,” katanya sebelum berlepas ke Scotland.

Dalam pada itu, Utusan Asia Barat Trump, Steve Witkoff, memaklumkan beliau kini meneliti opsyen alternatif untuk membebaskan baki tebusan yang masih ditahan.

Beberapa pegawai AS percaya tindakan menarik diri ini mungkin satu taktik untuk menekan Hamas agar kembali ke meja rundingan.

Meskipun AS menarik diri dari rundingan tersebut, Israel dan negara-negara pengantara seperti Qatar dan Mesir menegaskan perbincangan masih boleh diteruskan.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Tammy Bruce, turut menyuarakan keyakinan usaha Trump dan Witkoff akan membuahkan hasil, walaupun enggan menetapkan jangka masa untuk sebarang kejayaan.

Sementara itu, keadaan di Gaza semakin meruncing dengan jumlah kematian akibat kebuluran kian meningkat.

Ratusan ribu rakyat Palestin kini hidup dalam kelaparan teruk dengan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggambarkan penduduk Gaza sebagai ‘mayat hidup’.

Dalam satu pertemuan di Tunis, Presiden Tunisia Kais Saied menunjukkan kepada penasihat kanan Trump, Massad Boulos, gambar kanak-kanak di Gaza yang terpaksa makan pasir akibat kelaparan.

“Ini tidak boleh diterima. Ia satu jenayah terhadap kemanusiaan,” kata Saied.

Trump bagaimanapun me­nuduh Hamas bertanggungjawab menghalang ban­tuan makanan dan ubat-ubatan daripada sampai kepada rakyat Gaza, dan menyatakan AS telah menyumbang AS$60 juta (RM253 juta) dalam bentuk bantuan kemanusiaan.

“Kami tidak menerima penghargaan, tetapi kami sudah beri banyak. Kami harap bantuan itu benar-benar sampai kerana makanan sering dicuri,” katanya.

Namun, semakan dalaman kerajaan AS setakat ini tidak menemukan bukti kukuh Hamas mencuri bantuan yang disalurkan.

Di peringkat antarabangsa, sekutu AS semakin lantang mengkritik tindakan Israel.

Perdana Menteri Britain Keir Starmer menyifatkan tindakan ketenteraan Israel sebagai ‘tidak boleh dipertahankan’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×