Bursa Malaysia catat nilai pasaran RM1.9 trilion, terajui Asia Tenggara 

Bursa Malaysia catat nilai pasaran RM1.9 trilion, terajui Asia Tenggara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) terus melakar kejayaan menerajui segmen Asia Tenggara dengan momentum nilai pasaran melebihi RM1.9 trilion selain aktiviti tawaran awam permulaan (IPO) yang bersifat  dinamik.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata, kejayaan itu mencerminkan kekukuhan pasaran modal negara dan keyakinan komuniti perniagaan sebagai rakan kongsi bagi pertumbuhan ekonomi jangka masa panjang.

“Penyertaan pelabur runcit juga terus kukuh dan menjadi penyumbang utama kepada pasaran ekuiti negara.

“Setakat pertengahan tahun ini, purata nilai dagangan harian (ADV) pelabur runcit kekal stabil sekitar RM450 juta sejajar dengan paras sebelum pandemik Covid-19,” katanya semasa berucap pada Karnival Saham Perak Bersama Bursa Malaysia di sini hari ini.

Berhubung perkembangan pasaran modal di negeri ini, beliau memaklumkan terdapat lebih 113,000 atau 8 peratus runcit aktif daripada jumlah keseluruhan sebanyak 1.4 juta di negara ini.

Katanya, hampir 6,000 akaun sistem depositori pusat (CDS) saham baharu dibuka setakat pertengahan tahun ini yang berpotensi untuk terus berkembang dengan populasi penduduk negeri melebihi 2.5 juta orang.

CDS adalah sistem yang dikendalikan oleh Bursa Malaysia untuk menyimpan dan menguruskan saham yang dimiliki oleh pelabur. 

“Keutamaan kami ialah membina pelabur runcit yang didorong oleh ilmu pengetahuan, tanggungjawab dalam melabur selain memperkasa rakyat khususnya golongan muda mengenai celik kewangan dan literasi pelaburan.

“Dalam era digital yang semakin berkembang, penipuan pelaburan juga turut meningkat. Saya pasti ramai pernah melihat akaun palsu yang menyalahgunakan nama dan logo Bursa Malaysia yang sering mempromosi ‘tip saham percuma’ – sesuatu yang tidak pernah dan akan dilakukan Bursa Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN