JOHOR BAHRU: Johor perlu diberi layanan adil sebagai pemilik ekonomi dengan menerima peruntukan selayaknya daripada Kerajaan Persekutuan, bukan lagi hanya menjadi penerima.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, meskipun Johor memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara, namun negeri ini masih berdepan pembangunan infrastruktur.
Beliau berkata, rakyat Johor telah terlalu lama bersabar menunggu ‘kelulusan’ daripada Kerajaan Persekutuan untuk projek-projek pembangunan infrastruktur dan keperluan asas.
“Cukuplah Johor menjadi negeri penyumbang utama kepada ekonomi negara, namun terus terpinggir apabila berdepan masalah infrastruktur dan keperluan asas.
“Apakah wajar apabila Hospital Pasir Gudang yang sudah siap dibina, tetapi masih perlu menunggu hampir setengah tahun hanya kerana kekangan kelulusan dan peruntukan Persekutuan.
“Apakah adil apabila sistem di pintu masuk utama negara di Tambak Johor dan LinKedua terus gagal, hingga mencemarkan imej Johor di mata dunia. Kita sudah terlalu lama bersabar,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyokong penuh titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang mahu 25 peratus cukai pendapatan disumbangkan Johor kepada ekonomi negara dipulangkan.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin itu, pemulangan cukai demi manfaat dan kesejahteraan rakyat Johor bukan lagi pilihan tetapi adalah satu kewajipan.
“Dengan itu, Johor mampu berdiri atas kaki sendiri. Kita dapat percepat pembinaan infrastruktur, baik pulih kemudahan asas dan perkasa masa depan anak muda melalui pelaburan dalam fasiliti dan pembangunan sukan.
“Hari ini, banyak aset sukan di Johor memerlukan penaiktarafan. Kita perlu lebih banyak kompleks sukan di daerah, kolam renang, gimnasium, velodrom dan padang futsal tertutup kerana kita serius lahirkan atlet bertaraf dunia melalui pelaburan mencukupi dan tersusun,” katanya yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO. – UTUSAN











