BAGAN DATUK: Penduduk di Hutan Melintang di sini tidak sabar untuk menunggu pembinaan jambatan di sempadan negeri sepanjang 2.8 kilometer menghubungkan kawasan itu dengan Sungai Air Tawar di Sabak Bernam di Selangor yang dijadualkan siap tahun depan.
Seorang penduduk di Kampung Parit 17 Darat, Hutan Melintang, Zaman Mashuri Mat Roslan, 52, berkata, jambatan itu akan memberi manfaat kepada penduduk di lebih 30 kampung di Hutan Melintang.
Menurutnya, jambatan baharu itu dapat mengurangkan kesesakan trafik di Jalan Simpang Empat di sini ke Sabak Bernam selain penduduk di sini mudah untuk ke pekan Sungai Air Tawar di Sabak Bernam.
“Jambatan baharu ini akan merancakkan lagi ekonomi di kedua-dua daerah bersempadan. Perjalanan menjadi lebih cepat untuk Sabak Bernam dan Sungai Besar di Selangor.
“Tidak sabar rasanya untuk menunggu siapnya laluan pintas ke arah Sabak Bernam, Sungai Besar, Klang dan Kuala Lumpur yang akan memudahkan perjalanan saya untuk melawat anak-anak di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Seorang lagi penduduk, Mustain Hamid, 37, berkata, pembinaan jambatan ini akan memendekkan perjalanan ke Lembah Klang bagi penduduk Bagan Datuk terutama yang terlibat dalam penghantaran hasil pertanian seperti kelapa.
“Sebelum ini perjalanan ke utara menjadi lebih singkat selepas pembukaan Jambatan Sultan Nazrin yang menghubungkan pengguna ke pekan dan daerah Bagan Datuk.
“Apabila Jambatan Sungai Tawar dibuka tahun depan, ia akan merancakkan lagi ekonomi dan kemudahan pengangkutan untuk edar barangan tempatan ke Lembah Klang,” katanya.
Pada Jun 2024, ketika melawat pembinaan jambatan tersebut, Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, jambatan melibatkan peruntukan RM219 juta sepanjang 2.8 kilometer (km) menghubungkan Sungai Air Tawar, di sini ke Hutan Melintang, Perak dijadualkan siap pada Jun 2026.
Menurut beliau, jambatan baharu itu akan memberi manfaat kepada lebih 20,000 penduduk di 18 buah kampung seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar.
Pembinaan jambatan ini dapat menjimatkan perjalanan lebih 30 minit dan kurangkan kesesakan trafik di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE). – UTUSAN











