Ketua Audit Negara perlu dilantik semula ikut Perlembagaan

Ketua Audit Negara perlu dilantik semula ikut Perlembagaan

HAMZAH ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelantikan Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd. Radzi perlu diperbetulkan dengan melantik beliau semula mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pelantikan sebelum ini boleh menjejaskan kredibiliti laporan audit kerajaan dan mewujudkan persepsi berat sebelah.

Malah katanya, pelantikan tersebut dikhuatiri menyebabkan campur tangan eksekutif dalam proses semakan dan penelitian perbelanjaan negara.

“Pelantikan itu sepatutnya tidak dibuat ke atas individu yang masih menjawat jawatan dalam perkhidmatan awam kerana ia boleh menimbulkan persoalan berhubung kebebasan dan integriti jawatan berkenaan.

“Ini bukan soal kita menolak individu yang dilantik, tetapi proses pelantikan mestilah mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Menurut Hamzah, perkara itu dinyatakan secara jelas dalam Perkara 7 dan Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan, yang antaranya menyebut bahawa Ketua Audit Negara tidak sepatutnya dilantik daripada kalangan penjawat awam aktif.

Beliau turut membandingkan pelantikan sebelum ini melibatkan Tan Sri Dr. Hadenan A. Jalil yang hanya dilantik sebagai Ketua Audit Negara selepas beliau menamatkan perkhidmatan dalam kerajaan.

“Ketika Hadenan dilantik, beliau sudah pun bersara dan bebas daripada ikatan pentadbiran. Jadi tidak timbul soal pengaruh atau tekanan daripada mana-mana pihak.

“Kita bukan persoal siapa individu itu, tetapi ketelusan dan tadbir urus yang sepatutnya ditunjukkan oleh kerajaan yang selama ini melaungkan reformasi institusi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Whip Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Ketua Audit Negara merupakan satu jawatan perlembagaan sama seperti pelantikan hakim dan pelantikannya perlu mematuhi sepenuhnya Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan.

“Pelantikan Ketua Audit Negara dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja. Itu kita terima. Tetapi individu yang dilantik sepatutnya bukan dalam kalangan pegawai kerajaan yang masih berkhidmat, sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri.

“Ini bukan soal politik, tetapi soal prinsip. Tidak pernah dalam amalan sebelum ini Ketua Audit Negara dilantik daripada pegawai perkhidmatan awam yang masih aktif,” katanya.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, semakan terhadap pelantikan terdahulu membuktikan bahawa amalan tersebut dipatuhi termasuk ketika Hadenan dilantik pada tahun 2000.

“Beliau (Hadenan) merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya pada 1999 dan telah meletakkan jawatan sebagai pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) sebelum dilantik sebagai Ketua Audit Negara. Itu jelas.

“Ketua Audit Negara perlu bebas sepenuhnya daripada pengaruh eksekutif untuk menjalankan audit ke atas agensi kerajaan dengan telus dan objektif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×