Tiada bukti sahih Jho Low di Shanghai

Tiada bukti sahih Jho Low di Shanghai

SAIFUDDIN Nasution Ismail ketika sidang media selepas membuat lawatan kerja ke Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di Sasana Kijang.-UTUSAN/Saddam Yusoff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada bukti sahih mengenai keberadaan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, yang didakwa kini menetap di kawasan mewah Green Hills di Shanghai, China dengan menggunakan pasport palsu. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini dakwaan lokasi dan penggunaan pasport oleh individu yang dilaporkan belum ditemukan dengan fakta sokongan dan sahih. 

Katanya, kementerian melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bekerjasama erat dengan pihak berkuasa antarabangsa bagi mengesan keberadaan Jho Low. 

“Perkara yang dilaporkan (dakwaan)  tidak disokong dengan mana-mana bukti dan fakta sahih, ia kekal hanya pelaporan wartawan berkenaan sahaja. 

“Bagaimanapun, kita sentiasa bekerjasama erat dengan agensi pihak berkuasa antarabangsa untuk mengesahkan beliau,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di Sasana Kijang di sini hari ini. 

Sabtu lalu, Perdana Menteri,  Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kerajaan belum menerima sebarang maklumat rasmi berhubung keberadaan ahli perniagaan yang diburu Jho Low yang didakwa kini menetap di kawasan mewah di Shanghai, China.

Jumaat lalu, beberapa media antarabangsa yang memetik dua wartawan penyiasat iaitu Bradley Hope dan Tom Wright mendakwa bahawa Jho Low kini tinggal di Shanghai menggunakan identiti palsu dengan nama ‘Constantinos Achilles Veis’ serta pasport Australia palsu.

Pendedahan itu dibuat dua wartawan berkenaan yang membongkar skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Bradley Hope dan Tom Wright dalam episod khas Finding Jho Low: Live with Bradley Hope & Tom Wright, pada Jumaat.

Jho Low kekal sebagai suspek utama dalam skandal 1MDB dan dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia serta antarabangsa sejak 2018. Notis merah Interpol terhadapnya masih berkuat kuasa.

Setakat ini, tiada sebarang pengesahan rasmi daripada kerajaan China berhubung keberadaan beliau.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×