KUALA LUMPUR: Kelewatan teknikal dalam proses permohonan sijil menjadi punca isu status halal syarikat mengendalikan perkhidmatan sajian makanan pesakit di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, kekeliruan timbul susulan kelewatan melibatkan aspek teknikal permohonan sijil halal terhadap premis baharu yang digunakan untuk menyediakan makanan dan bukan kerana syarikat terbabit tidak mempunyai latar belakang yang sah dalam pematuhan halal.
“Permohonan sijil halal bukan dilakukan atas nama syarikat, tetapi ke atas premis yang digunakan untuk penyediaan makanan.
“Jadi, kelewatan teknikal ini perlu dilihat secara menyeluruh kerana bukan sahaja melibatkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), tetapi juga kementerian dan agensi berkaitan lain,” katanya pada sesi perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Zambry, syarikat berkenaan sebenarnya sudah memiliki premis lain yang mempunyai sijil halal, malah pembekalnya juga diiktiraf halal oleh pihak berkuasa.
“Premis utama syarikat itu memang memiliki sijil halal. Malah, pembekal yang membekalkan bahan mentah kepada mereka juga sudah diperakui halal,” katanya.
Tambah beliau, berdasarkan syarat semasa, setiap syarikat yang dianugerahkan kontrak perkhidmatan makanan perlu memohon sijil halal dalam tempoh enam bulan selepas kontrak diperoleh.
“Namun, dalam kes ini, kelewatan berlaku apabila Pegawai Bertanggungjawab (PIC) yang dilantik oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hanya diperoleh pada 14 April 2025 iaitu beberapa bulan selepas kontrak bermula pada 2024.
“Tanpa kehadiran PIC, syarikat tidak boleh meneruskan proses permohonan halal. Ini menangguhkan semakan, audit dan kelulusan premis, sekali gus menimbulkan kekeliruan di peringkat awam,” jelasnya.
Justeru, beliau berharap isu itu menjadi pengajaran bukan sahaja kepada kementerian dan pihak penyedia perkhidmatan, malah kepada semua pihak agar lebih bersedia dari sudut teknikal dan pematuhan prosedur halal sebelum memulakan operasi.
“Saya harap isu ini dapat diperbetulkan agar tidak timbul keraguan dalam kalangan rakyat terhadap status halal makanan yang disediakan di hospital,” tegasnya. – UTUSAN










