SEREMBAN: Beberapa ikhtiar yang diambil kerajaan bagi meringankan beban sara hidup rakyat seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri memberikan makna cukup besar kepada golongan yang memerlukan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga memberikan kelegaan buat banyak keluarga kerana menyentuh banyak perkara.
“Yang tidak mahu, yang tidak terima, itu pulanglah. Bagi dia ini tidak bermakna, (namun) bagi orang yang susah yang memerlukan, saya rasa ini amat bermakna. Saya berharap kita kena belajar balik tentang ilmu bersyukur,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri hari ini.
Lima ikhtiar itu adalah Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 secara one-off kepada semua rakyat dewasa; hari kelepasan am tambahan pada Isnin, 15 September 2025; peruntukan Jualan Rahmah MADANI digandakan kepada RM600 juta; tiada kenaikan tol bagi 10 lebuh raya dan harga petrol RON95 diturunkan ke RM1.99 seliter.
Aminuddin berkata, kerajaan Negeri Sembilan amat mengalu-alukan pengumuman oleh Perdana Menteri yang dilihat memberikan semangat dan dorongan kepada rakyat
“Malah, pemberian SARA untuk semua, saya pun dapat RM 100. Pengumuman cuti juga memberi galakkan kepada aktiviti pelancongan domestik berkembang yang seterusnya memberi makna besar kepada peniaga,” katanya.
Beliau juga berharap pengumuman pengharagaan kepada rakyat ini dapat dilakukan setiap tahun. – UTUSAN











