PETALING JAYA: Polis Kuala Lumpur perlu melakukan beberapa lagi tindakan berhubung siasatan kes penyanyi Shila Amzah yang didakwa diserang penyanyi lelaki legenda tanah air selepas menerima arahan lanjut dari Pejabat Pendakwaan Negeri (PPN).
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, pihaknya telah menerima semula kertas siasatan daripada PPN Kuala Lumpur dan terdapat beberapa arahan lanjut yang perlu diambil tindakan oleh polis.
“Pihak polis akan menyegerakan tindakan ini dan akan menghantar semula kertas siasatan secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, kertas siasatan kes berkenaan sudah diserahkan kepada PPN Kuala Lumpur untuk tindakan susulan sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara (AGC) Putrajaya.
Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes itu mendapat perhatian ramai selepas Shila membuat laporan polis mendakwa diserang artis legenda ketika sesi latihan konsert, yang turut dikongsikan di Instagram Story sehingga mencetuskan pelbagai reaksi peminat serta warga industri hiburan. – UTUSAN







