KUALA LUMPUR: Isu kenaikan harga ikan kembung yang dikatakan mencecah RM16 sekilogram menghangatkan perjalanan Sidang Dewan Rakyat hari ini.
Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) membangkitkan soalan tambahan dengan membuat perbandingan harga ikan kembung sebelum dan selepas pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
“Saya suruh pegawai saya check (semak) balik dalam dalam senarai harga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Saya tengok harga ikan kembung sebelum SST ialah RM14.80, tapi semalam harga purata naik sehingga RM16 sekilo.
“Soalannya, apakah langkah kerajaan untuk turunkan inflasi makanan? Dan apakah kerajaan benar-benar mampu turunkan harga makanan? Tak perlu cerita pasal Jualan Rahmah kalau harga terus naik,” katanya.
Menjawab soalan itu, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying menegaskan bahawa pelaksanaan SST adalah bersasar dan kerajaan tidak berniat membebankan rakyat.
“SST adalah bersifat targeted. Kita tidak mahu harga makanan asas dinaikkan dan kerajaan komited memastikan kos sara hidup kekal terkawal, terutama melibatkan barangan asas,” katanya.
Namun, perbahasan menjadi semakin panas apabila Chong Zhemin (PH-Kampar) bangun mencelah dan mendakwa kenyataan Hamzah itu sebagai mengelirukan.
“Berdasarkan Peraturan Mesyuarat Dewan 36 (12) mana-mana ahli yang keluarkan kenyataan mengelirukan dewan dan menghina majlis akan dikenakan tindakan.
“Larut cuba kaitkan harga ikan kembung dengan inflasi, tapi ikan kembung bukan dalam bakul makanan yang digunakan untuk ukur kadar inflasi. Harga ikan kembung bergantung kepada permintaan dan penawaran,” katanya.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd. Nor kemudian berkata bahawa kenyataan Zhemin itu tidak relevan.-UTUSAN











