WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyifatkan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), Jerome Powell, sebagai ‘dungu’ kerana mengekalkan kadar faedah yang terlalu tinggi.
Beliau turut mendakwa Powell akan meninggalkan jawatan itu dalam tempoh lapan bulan.
“Saya rasa dia buat kerja teruk, tetapi dia akan keluar tidak lama lagi. Dalam lapan bulan, dia akan keluar,” kata Trump dalam sidang media ketika pertemuan dengan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. di Rumah Putih, kelmarin.
Tempoh perkhidmatan Powell secara rasmi berakhir pada 15 Mei 2026, dan beliau sebelum ini menegaskan tidak akan meletak jawatan lebih awal.
Kenyataan itu menimbulkan persoalan kerana tempoh lapan bulan hanya membawa sehingga pertengahan Mac 2026, dan tidak jelas mengapa Trump jangka masa tersebut.
Trump mengkritik Powell selama berbulan-bulan kerana enggan menurunkan kadar faedah, malah sering mengancam untuk menggugurkannya walaupun tindakan memecatnya tidak mungkin berlaku.
Baru-baru ini, Rumah Putih meningkatkan lagi kempen tekanan apabila melancarkan semakan terhadap projek pengubahsuaian dua bangunan Fed di Washington.
Ia mendakwa projek tersebut terlalu mewah dan mungkin tidak mematuhi protokol perancangan, tuduhan yang ditolak keras oleh pihak Fed.
Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent, pada Rabu mengulangi gesaannya agar satu siasatan dalaman dijalankan terhadap operasi Fed yang tiada kaitan dengan dasar monetari.
Namun, pakar ekonomi memberi amaran sebarang usaha untuk memaksa Fed melonggarkan dasar monetari mungkin memberi kesan sebaliknya, termasuk menjejaskan kepercayaan pasaran terhadap kebebasan dan kredibiliti institusi itu.
Pakar merujuk hiperinflasi di negara seperti Argentina dan Zimbabwe sebagai contoh akibat apabila ahli politik campur tangan dalam penetapan kadar faedah oleh bank pusat.- AGENSI










