Tun M, Ahmad Zahid berdamai

Tun M, Ahmad Zahid berdamai

PEGUAM Mior Nor Haidir Suhaimi (kiri) dan Shahrul Fazli bersalaman selepas selesai perbicaraan kes saman fitnah antara Mahathir Mohamad dan Ahmad Zahid Hamidi di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menamatkan pertikaian di antara mereka demi rakyat dan bagi memulihkan keharmonian dalam kalangan pemimpin negara.

Kata sepakat itu dicapai dalam kes saman fitnah ber­hubung isu ‘kutty’ di Mah­ka­mah Tinggi di sini semalam. Penyelesaian bersama itu turut membabitkan saman fitnah oleh Ahmad Zahid terhadap Dr. Mahathir.

Mahkamah juga sepatutnya mendengar permohonan Ahmad Zahid untuk mengenakan tindakan komital terhadap bekas Presiden UMNO itu.

Ahmad Zahid memfailkan saman terhadap Dr. Mahathir pada April 2022 berhubung dakwaan menggunakan kedu­du­kannya bagi mempengaruhi bekas Perdana Menteri itu untuk campur tangan dalam prosiding kesnya yang masih berjalan di mahkamah.

Dr. Mahathir pula menya­man Ahmad Zahid pada Julai 2022 atas dakwaan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu mengeluarkan kenyataan fitnah menyentuh mengenai asal keturunannya.

Menurut kenyataan bersama dikeluarkan, Dr. Mahathir, 100, selaku plaintif menarik balik saman fitnah difailkan terhadap Ahmad Zahid, 73, tanpa kebebasan memfailkan semula.

Sementara itu, Ahmad Zahid pula menarik balik saman fitnah terhadap Dr. Mahathir berhubung dakwaan beliau menggunakan kedudukan bagi mempengaruhi bekas Perdana Menteri itu untuk campur ta­ngan dalam prosiding kes jenayah di mahkamah.

Ahmad Zahid juga bersetuju menarik balik permohonan untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Dr. Mahathir.

“Kedua-dua pihak mengakui terdapat kenyataan sebelum ini menimbulkan kekeliruan dan salah faham berkaitan identiti dan integriti peribadi pihak-pihak. Namun, perkara-perkara ini telah diperjelaskan dengan sewajarnya oleh pihak-pihak.

“Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak mempertikaikan bahawa nama Tun Dr. Mahathir seperti didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah Mahathir bin Mohamad.

“Sebarang kenyataan sebelum ini yang menimbulkan tanggapan sebaliknya telah dibuat berdasarkan maklumat daripada Ketua Pengarah JPN yang mana Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tiada sebab untuk meragui pada ketika itu.

“Pihak-pihak dengan ini menarik balik sebarang rujukan kepada kewujudan dokumen pengenalan dengan nama ‘Mahathir a/l Iskandar Kutty’,” kata kenyataan itu.

Selain itu, Dr. Mahathir turut memberitahu, kenyataan dibuatnya pada 23 Februari 2022 berhubung dakwaan Ahmad Zahid memohon bekas Ahli Parlimen Langkawi itu campur tangan dalam siasatan dan prosiding jenayah terhadapnya dibuat berdasarkan maklumat daripada pihak ketiga yang mana beliau tiada sebab untuk meraguinya.

“Pihak-pihak dengan ini menarik balik sebarang rujukan kepada cubaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui apa-apa kenyataan atau pertemuan untuk menghentikan prosiding jenayah terhadapnya di luar lingkup proses kehakiman.

“Tambahan pula, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri Ketujuh dan tidak berada di dalam Kerajaan pada ketika kedua-dua situasi yang dirujuk dalam kenyataannya tersebut,” ujar kenyataan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×