KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan menganjurkan Karnival Usahawan Desa (KUD) bersempena Karnival Mega 3 Dimensi 2025 (MK3D) dari 30 Julai hingga 3 Ogos ini.
MK3D 2025 yang membawa tema “Desaku Mendunia” adalah satu acara berskala besar yang menggabungkan tiga program keusahawanan utama iaitu Karnival Usahawan Desa (KUD) oleh KKDW, Hari Peneroka FELDA oleh FELDA dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Karnival lima hari itu yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bakal menjadi platform mempromosi dan medium bagi mewujudkan akses pasaran produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar terus kepada pemborong, pengedar dan pembeli.
MK3D 2025 juga mampu meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran produk luar bandar serta meneroka peluang pasaran baharu yang lebih besar.
Lebih 1,000 usahawan bakal menyertai MK3D 2025 yang menjanjikan peningkatan pendapatan yang signifikan.
Selain itu, institusi pembiayaan akan dibawa menyertai MK3D 2025 untuk meningkatkan akses kepada peluang perniagaan bagi membantu pertumbuhan dan pengembangan perniagaan usahawan.
Di MK3D 2025 juga, terdapat syarikat yang bakal menawarkan padanan perniagaan bagi meningkatkan keupayaan usahawan untuk terus kekal berdaya saing dalam pasaran.
MK3D 2025 menjanjikan lebih 100 aktiviti pengisian kepada para pengunjung selain Konsert Kemuncak yang bakal mempersembahkan artis terkenal tanah air seperti Aina Abdul, Adira Suhaimi, Khai Bahar, Akim dan Majistret yang dibawakan secara percuma.
Untuk maklumat lanjut, sila layari https://megakarnival3dimensi.my/. – UTUSAN










