Mahkamah benarkan Anwar tangguh saman Yusof Rawther

Mahkamah benarkan Anwar tangguh saman Yusof Rawther

ISTANA KEHAKIMAN PUTRAJAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Datuk Seri Anwar untuk menangguhkan segala prosiding berkaitan saman dikemukakan bekas pegawai penyelidik, Muham­med Yusoff Rawther di Mahkamah Tinggi sehingga rayuannya didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ia selepas panel tiga hakim diketuai Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali yang bersidang bersama-sama Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Lim Hock Leng sebulat suara membenarkan permohonan penggantungan tersebut.

“Berhubung permohonan penggantungan, kami dapati penggantungan perlu diberikan kerana terdapat keadaan istimewa. Sekiranya penggantungan tidak diberikan, rayuan yang difailkan (Anwar) akan menjadi sia-sia.

“Selain itu, kami mendapati tidak timbul sebarang rejudis kepada mana-mana pihak sekiranya penggantungan prosiding dibenarkan,” kata Hakim Che Mohd. Ruzima.

Mahkamah menyatakan, pihak-pihak boleh memohon tarikh awal untuk pendengaran rayuan tersebut memandangkan Mahkamah Tinggi sebelum ini telah menetapkan 2 September untuk pengurusan kes saman terbabit untuk menetapkan tarikh perbicaraan kes saman.

Kes saman terbabit sepatutnya mula dibicarakan pada 16 Jun lalu namun terhenti selepas Anwar berjaya mendapatkan penangguhan sementara.

Rayuan difailkan Anwar adalah berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk merujuk lapan persoalan ke Mahkamah Persekutuan berhubung kekebalan seorang Perdana Menteri daripada sebarang tindakan saman sivil.

Pada 4 Jun lalu, Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan untuk merujuk persoalan-persoalan itu atas alasan permohonan terbabit tidak mengandungi sebarang isu yang membolehkan ia dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

Anwar memfailkan permohonan untuk merujuk beberapa persoalan antaranya sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi Perdana Menteri kekebalan bersyarat daripada saman sivil dan mahu mempertimbangkan sama ada ia menjejaskan keupayaan men­jalankan tugas Eksekutif serta melemahkan prinsip pengasingan kuasa dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Beliau mahu mahkamah menentukan sama ada prosiding saman tersebut melanggar haknya untuk dilayan sama rata di sisi undang-undang seperti diperuntukkan dalam Perkara 8 (1) Perlembagaan Perseku­tuan, terutamanya kerana beliau men­dakwa saman tersebut me­rupakan penyalahgunaan pro­ses mahkamah.

Muhammed Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar pada 2021 berhubung satu insiden yang berlaku di kediaman Presiden PKR itu di Segambut pada Oktober 2018.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini