KUALA PILAH: Musim buah-buahan tempatan bukan hanya dinantikan oleh penggemarnya, malah menjadi peluang keemasan buat seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) meraih rezeki melalui jualan secara kecil-kecilan.
Sharulzila Sazali, 43, yang lumpuh selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya 20 tahun lalu berkata, sebanyak 250 kilogram (kg) manggis telah dijualnya sepanjang musim ini.
Selain manggis, petai juga mendapat sambutan apabila berjaya menjual sehingga 1,000 papan dalam tempoh sebulan.
Kata Sharulzila, pada awalnya dia hanya berniaga di hadapan rumahnya, namun atas dorongan isteri, Farhana Ramlan, 36, yang juga seorang OKU, dia memberanikan diri untuk berniaga di pasar.
“Masa balik kampung isteri di Terachi, ketika itu musim buah kundang, isteri menyuruh saya menjual dengan membuat perkhidmatan penghantaran terus ke rumah secara tunai (COD) di sekitar Port Dickson, mula-mula saya tidak yakin tetapi saya sahut sahaja kerana dia pun OKU seperti saya.
“Alhamdulillah, jualan kami mendapat sambutan yang menggalakkan dan sejak dari itu saya mula berani untuk berniaga di pasar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Tapak Pasar Tani Kuala Pilah di sini.
Sharulzila berkata, kekurangan fizikal bukanlah penghalang untuk dirinya mencari rezeki serta menjalani kehidupan seperti orang lain.
“Bagi saya, selagi saya mampu buat sendiri, saya akan berdikari sendiri. Saya tidak mahu terlalu bergantung kepada bantuan orang. Tetapi kalau di luar kemampuan saya contohnya angkat benda berat, itu memang saya perlukan bantuan,” katanya.
Dia bersyukur kerana mendapat sokongan orang sekelilingnya terutama rakan sejak dari bangku sekolah, Shahrul Izwan Malek, 46, yang turut berniaga di pasar tani itu.
“Dia banyak membantu dari buka khemah, susun barang, sampai kemas semula lepas habis berniaga. Tanpa dia, memang susah juga nak buat semua itu sendiri, saya sangat bersyukur kerana ada rakan sepertinya,” katanya. – UTUSAN











