MERSING: Seramai 128 penduduk Pulau Aur yang merupakan penempatan paling jauh di perairan daerah ini bimbang dengan keselamatan mereka, setiap kali musim tengkujuh kerana kawasan itu menjadi tumpuan nelayan asing berlindung daripada angin kencang.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pulau Aur, Sabinah Md. Seth berkata, pulau berkenaan akan terputus hubungan dengan tanah besar akibat keadaan laut bergelora serta angin kuat yang menyebabkan pengangkutan terhenti sepenuhnya.
“Namun, bantuan bekalan makanan telah diagihkan lebih awal oleh pejabat daerah dan pihak-pihak lain. Masalah timbul apabila nelayan asing, termasuk dari Thailand datang berteduh di kawasan ini.
“Ada yang datang sehelai sepinggang, masuk kampung, ambil makanan, ceroboh rumah orang,” katanya ketika ditemui di Kampung Berhala.
Keadaan itu mencetuskan kebimbangan penduduk tentang keselamatan diri dan keluarga kerana hanya dua anggota polis ditempatkan di Kampung Berhala.
“Kalau mereka nak ke pulau-pulau berhampiran pun tak boleh sebab tiada bot besar. Sebab itu, kami mohon kerajaan pertimbang wujudkan pos keselamatan tetap di sini.
“Kami harap agensi seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) atau Jabatan Laut dapat buka pos tetap untuk bantu keselamatan penduduk,” katanya.
Katanya, jumlah penduduk boleh mencecah lebih 500 orang pada cuti sekolah atau musim buah-buahan apabila penduduk asal pulang ke kampung halaman.
“Mereka berhijrah pun sebab nak sekolahkan anak atau cari kerja. Tapi kampung tetap kampung, bila cuti semua balik. Jadi kami harap sangat keselamatan di sini diberi perhatian, terutamanya ketika musim tengkujuh,” katanya. – UTUSAN











