Pelabuhan Darat Melaka tidak kendali bahan berbahaya

Pelabuhan Darat Melaka tidak kendali bahan berbahaya

AB. RAUF Yusoh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Projek Pelabuhan Darat Melaka (MIP) yang dibangunkan dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM230.8 juta tidak mengendalikan produk atau bahan berbahaya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, projek seluas 52.89 hektar atas tanah milik Perbadanan Melaka (MCorp) itu merupakan hub logistik yang selamat dan mampan.

Beliau berkata, pembangunan projek tertakluk kepada syarat kebenaran merancang dan mendapat kelulusan pelan bangunan daripada Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

“Operasi pelabuhan ini tertumpu kepada barangan kontena, kargo berpalet dan barangan komersial selaras pematuhan penuh terhadap peraturan alam sekitar, kesihatan dan keselamatan. Terminal ini dibangunkan dengan pendekatan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang menyeluruh.

“Penggunaan teknologi hijau, sambungan rel rendah karbon, pemerkasaan komuniti setempat, tadbir urus yang telus dan selari dengan agenda pembangunan mampan negeri Melaka,” katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Zulkiflee Mohd. Zin (BN-Taboh Naning) sama ada kerajaan negeri telah memperhalusi MIP kerana dibangunkan berdekatan rumah penduduk kampung.

Ab. Rauf berkata, projek tersebut kini di peringkat akhir perincian reka bentuk.

Katanya, urusan pengambilan tanah di bawah Seksyen 4 dan Seksyen 8 kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Negeri Melaka dijangka dikemukakan awal Ogos ini.

“Pelaksanaan iklan tender dijangka pada pertengahan Ogos ini dan lantikan kontraktor dijangka pada Disember depan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini