Mural flora warnai Taman Bandaraya Bukit Serindit

Mural flora warnai Taman Bandaraya Bukit Serindit

MURAL berinspirasikan flora dan sejarah Bukit Serindit kini menghiasi Taman Bandaraya sebagai simbol keharmonian alam, tamadun dan warisan Melaka yang terus dilestarikan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA : Sebuah mural bersaiz gergasi berkonsepkan flora dan kehijauan alam sekitar kini menjadi tarikan baharu di Taman Bandaraya Bukit Serindit, di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mural sepanjang 80 kaki dan setinggi 20 kaki itu menampilkan elemen tumbuhan hijau yang menjadi identiti Bukit Serindit selain simbolik kepada asal-usul pembentukan tamadun dan organisasi masyarakat terdahulu.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, konsep lukisan mural tersebut turut menggambarkan kewujudan pusat ibadah dan pentadbiran yang berpaksikan sumber alam semula jadi sebagai nadi kepada perdagangan dan ekonomi negeri Melaka suatu masa dahulu.

“Karya ini bukan sekadar cantik dipandang malah sarat dengan naratif sejarah dan mesej pemeliharaan alam sekitar.

“Ia turut mengangkat nilai warisan Bukit Serindit sebagai kawasan yang menyimpan pelbagai spesies flora asli yang perlu kita lestarikan bersama,” katanya kepada pemberita semalam.

Menurut beliau, mural yang merupakan hasil sentuhan dua pelukis tempatan, Ali Hakim Zakaria dan Ahmad Farhan Md Yusuf itu menambahkan lagi seri persekitaran taman dan menjadi simbol penyatuan antara alam dan manusia.

“Inisiatif ini adalah antara usaha pihak MBMB dalam menyemarakkan seni mural sebagai medium komunikasi visual yang efektif kepada masyarakat.

“Kami percaya dengan kehadiran mural ini, ia bukan sahaja mencantikkan kawasan taman, bahkan menjadi titik tumpuan pelancong serta warga Melaka untuk lebih menghargai alam sekitar dan sejarah negeri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini