Warisan lama dalam bingkai baharu

Warisan lama dalam bingkai baharu

PASAR Kedai Payang 1 yang baharu menjadi simbol perkembangan ekonomi di Terengganu. – MINGGUAN/ERMA YUSNIDA JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Terletak di tengah-tengah bandar Kuala Terengganu, Pasar Kedai Pa­yang bukan sekadar sebuah pasar namun ia adalah simbol kehidupan masyarakat setempat.

Setelah menjalani proses pembinaan semula sejak 2018 yang menelan belanja sebanyak RM69.3 juta, kini Pasar Kedai Payang baharu berdiri megah, menampilkan wajah moden tanpa melupakan sentuhan tradisi yang menjadi identiti Terengganu. Pasar Kedai Pa­yang beroperasi dalam dua lokasi berbeza iaitu Pasar Payang 1 dan Pasar Payang 2.

Pasar Kedai Payang 1 menempatkan peniaga-peniaga yang menjual produk kraf tangan, batik, tekstil, barangan perhiasan dan emas. Reka bentuk moden yang diselitkan unsur seni bina Melayu menjadikan pengalaman membeli-belah di sini lebih selesa tanpa menghilangkan rasa tradisi.

Pasar Kedai Payang 2 pula mengekalkan suasana pasar basah yang lebih tradisional. Di sinilah pengunjung boleh mendapatkan pelbagai makanan tempatan, keropok lekor, hasil laut kering, sayur-sayuran segar, buah-buahan dan makanan tradisional Terengganu.

Dengan pembahagian fungsi ini, suasana di kedua-dua lokasi lebih tersusun dan terfokus, memudahkan pengunjung mendapatkan apa yang mereka cari tanpa perlu berpusing-pusing. Lebih daripada sekadar tempat berniaga, Pasar Payang adalah cerminan jiwa rakyat dan tempat di mana warisan lama bertemu semangat baharu.

 

KEMUDAHAN MODEN, SENTUHAN TRADISIONAL

Bangunan baharu Pasar Kedai Payang menampilkan seni bina berunsurkan tradisi Terengganu dengan sentuhan moden yang mesra pengguna. Pasar ini menyediakan lebih 400 lot kedai dan hampir 370 petak jualan.

Antara tarikan utama adalah pembinaan semula menara jam ikonik yang pernah menjadi simbol pasar ini sejak 1957. Menara setinggi 12 meter ini direka bentuk dengan elemen rumah tradisional Melayu Terengganu, dihiasi motif bangau dan kaca berwarna, sekali gus menghidupkan kembali nostalgia serta menjadi lokasi tumpuan pelancong.

Walaupun berada di dua lokasi berbeza, jarak antara Pasar Kedai Payang 1 dan 2 sangat dekat, hanya beberapa langkah. Tambahan, susun atur kawasan sekitar yang mesra pejalan kaki, papan tanda arah yang jelas dan kehadiran tempat letak kereta berhampiran menjadikan pergerakan antara kedua-dua pasar ini tidak menimbulkan sebarang masalah kepada pengunjung.

Pasar Kedai Payang yang baharu ini dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuk eskalator, kamera litar tertutup (CCTV) untuk ke­selamatan, serta ruang lapang di bahagian bawah bangunan yang memberi lebih keselesaan kepada pengunjung. Reka bentuknya turut mengekalkan elemen seni bina tradisional Melayu, menjadikannya unik dan bersesuaian dengan warisan tempatan.

Walaupun fizikalnya berubah, nadi pasar ini kekal dengan fungsinya yang menjadi tempat rakyat mencari rezeki, berinteraksi, dan mengenali budaya sendiri.

 

PUSAT EKONOMI RAKYAT TERENGGANU

Sebagai antara pasar utama di Pantai Timur, Pasar Kedai Pa­yang terus berperanan sebagai pusat ekonomi rakyat. Ratusan peniaga, sebahagian besarnya terdiri daripada usahawan kecil dan sederhana kembali berope­rasi dengan semangat baharu. Dari batik Terengganu, songket halus, sehinggalah ke ikan masin, keropok lekor, dan kuih-muih tradisional, semuanya boleh didapati di Pasar Kedai Payang.

Bagi peniaga, Siti Nor Lisa Muhktazar, 43, kedai baharu lebih besar berbanding dulu dan memberi keselesaan.

“Pasar Kedai Payang 1 lebih selesa kerana ruang niaga lebih luas berbanding dahulu, jadi kita dapat letak barang jualan lebih banyak,”katanya.

Ia bukan sahaja menyokong ekonomi tempatan, malah menjadi platform bagi generasi muda meneruskan legasi perniagaan warisan keluarga.

Pengunjung yang ditemui, Salina Abdullah, 34, berkata, setiap kali bercuti ke Terengganu, Pasar Kedai Payang wajib dikunjungi.

Dia yang tinggal di Seremban, Negeri Sembilan berkata, pelbagai barangan yang dijual di Pasar Kedai Payang sememangnya menarik.

“Saya akan beli batik, keropok keping selain pelbagai jenis rempah yang dijual di sini. Pada pendapat saya, Pasar Kedai Payang baharu ini teratur walaupun perlu berjalan sedikit untuk ke bahagian barangan pelbagai seperti keropok,”katanya.

 

PASAR Kedai Payang 2 menempatkan pelbagai produk laut seperti keropok selain sayur – sayuran.

LEBIH DARIPADA SEKADAR PASAR

Bagi masyarakat Kuala Terengganu, Pasar Payang adalah ruang sosial. Di sinilah mereka bertemu, berbual, bertukar cerita, kadangkala lebih lama dari masa membeli-belah itu sendiri.

Dengan reka bentuk baharu yang lebih luas dan kemas, pasar ini kini lebih mesra warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan keluarga yang datang bersama anak kecil.

Kemudahan seperti eskalator memberi akses lebih mudah ke tingkat atas, manakala pencahayaan dan pengudaraan yang baik mencipta suasana selesa dan terbuka. Di ruang bawah pula, aktiviti komuniti, pameran atau persembahan budaya boleh diadakan seterusnya menjadikan pasar ini bukan sekadar tempat jual beli, tetapi juga pusat sosial dan budaya.

Walaupun tampil lebih mo­den, elemen tradisional kekal menjadi daya tarikan pelancong. Ramai yang masih mencari batik tulen, kain tenun dan hasil kraftangan tangan yang sukar didapati di tempat lain.

Pasar Payang baharu membuktikan bahawa kemajuan tidak semestinya mengorbankan tradisi. Dengan reka bentuk yang moden tetapi masih mengekalkan identiti budaya, pasar ini terus menjadi jantung ekonomi, ruang sosial dan tarikan pelancongan yang penting kepada Terengganu.

Sementara itu ,Pengerusi Persatuan Pasar Payang dan Bazar Warisan, Ahmad Shukri Abdullah berkata, jumlah peniaga Pasar Payang 1 yang berdaftar adalah seramai 420 orang manakala Pasar Payang 2 seramai 450 peniaga.

“Alhamdulillah setakat hari ini sejak beroperasi , saya lihat ruang niaga lebih tersusun dan memudahkan pengunjung,” katanya. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×